[INFOGRAFIK] Kemarau emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir apabila Malaysia berjaya merangkul tiga pingat berharga itu baru-baru ini. Emas pertama negara disumbangkan oleh Bonnie Bunyau Gustin menerusi acara angkat berat pada... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Kemarau emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir apabila Malaysia berjaya merangkul tiga pingat berharga itu baru-baru ini.

Emas pertama negara disumbangkan oleh Bonnie Bunyau Gustin menerusi acara angkat berat pada minggu lepas.

Sementara emas kedua pula disumbangkan oleh Cheah Liek Hou menerusi acara badminton perseorangan lelaki, disusuli emas ketiga daripada Abdul Latif Romly melalui lompat jauh lelaki.

Kejayaan ketiga-tiga atlet para negara meraih emas itu boleh disifatkan sebagai penawar kepada kekecewaan rakyat selepas kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki dibatalkan.

Ketiga-tiga atlet negara itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta sukan dunia, malah turut membuktikan bahawa golongan seperti mereka juga mampu mengharumkan nama negara walaupun kekurangan.

Bonnie Bunyau Gustin

Tubuhnya kerdil, namun kudratnya mengatasi orang normal. Begitulah keadaan Bonnie Bunyau Gustin.

Namanya mula menjadi perhatian ramai apabila beliau memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2019 yang berlangsung di Nur-Sultan, Kazakhstan.

Bonnie Bunyau yang berketurunan Bidayuh telah didedahkan dengan sukan angkat berat sejak berusia 15 tahun lagi kerana beliau sendiri datang daripada keluarga yang aktif berkecimpung di dalam sukan berkenaan.

Ayahnya, Gustin Jenang pernah menyertai sukan sama ketika berlangsungnya Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2010 di Kuala Lumpur manakala abangnya, Brian Junancey Gustin pula pernah menyertai pertandingan sama hingga ke peringkat antarabangsa.

Cheah Liek Hou

Liek Hou bukan lagi asing dalam kalangan peminat sukan badminton negara kerana beliau merupakan pemenang 11 kali Kejohanan Dunia Para-Badminton.

Kemenangan beliau itu tidak hanya tertumpu kepada permainan perseorang sahaja malah turut meliputi beregu lelaki.

Liek Hou yang memiliki ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia menceburkan diri dalam permainan badminton ketika berusia 12 tahun.

Pada awalnya, beliau bertanding dalam kategori normal dan para namun fokusnya tertumpu kepada kategori para selepas beliau menamatkan pengajiannya di universiti.

Like Hou sebenarnya bukanlah calang-calang atlet kerana beliau pernah menyandang gelaran juara badminton dunia sebanyak enam kali.

Abdul Latif Romly

Anak kelahiran Perlis ini adalah antara atlet yang menjadi perhatian ramai dalam kalangan peminat sukan olahraga.

Namanya menjadi perhatian ramai kerana Abdul Latif sering mencipta rekod baharu dalam acara lompat jauh lelaki yang disertainya.

Bermula dengan temasya Sukan Para ASEAN 2015, beliau terus mencatat satu demi satu rekod baharu sehinggalah ke temasya Sukan Paralimpik 2016 yang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil.

Abdul Latif yang tergolong dalam kurang upaya intelektual sekali lagi mencipta kejutan apabila meraih emas buat kali kedua dalam temasya Paralimpik yang berlangsung di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Kejayaan beliau itu secara tidak langsung telah mengiktiraf namanya sebagai satu-satunya atlet paralimpik yang berjaya meraih dua emas dalam temasya sukan berprestij itu.

Klik di sini untuk terus membaca