[INFOGRAFIK] Penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Paralimpik bermula pada 1972 ketika penganjuran edisi keempatnya di Heidelberg, Jerman. Penyertaan pertama negara itu menyaksikan Malaysia menghantar seramai empat orang atlet melibatkan... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Penyertaan Malaysia dalam temasya Sukan Paralimpik bermula pada 1972 ketika penganjuran edisi keempatnya di Heidelberg, Jerman.

Penyertaan pertama negara itu menyaksikan Malaysia menghantar seramai empat orang atlet melibatkan acara balapan dan angkat berat.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Malaysia apabila kesemua atlet tersebut gagal meraih sebarang pingat.

Malaysia kemudiannya tidak menyertai temasya sukan tersebut selama tiga edisi berturut-turut, sebaliknya hanya kembali menghantar peserta sewaktu penganjuran edisi kelapan di Seoul, Korea Selatan pada 1988.

Sejak itu, negara kita terus komited menyertai temasya berprestij itu sehinggalah ke penganjuran edisi ke-16 di Tokyo, Jepun yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada 5 September lepas.

Sepanjang 48 tahun menyertai Sukan Paralimpik, Malaysia berjaya meraih sebanyak 16 pingat yang mana enam daripadanya ialah emas, empat perak dan enam gangsa.

Kejayaan tersebut secara tidak langsung telah meletakkan negara kita pada kedudukan ke-64 secara keseluruhannya dalam senarai negara yang mengambil bahagian.

Biarpun Malaysia tidak banyak meraih emas sepanjang penyertaannya dalam temasya Sukan Pralimpik, namun negara kita berjaya melahirkan ramai atlet para yang berkualiti tinggi dan disegani dunia.

Antaranya ialah Muhammad Ziyad Zolkefli, Cheah Leik Hou, Abdul Latif Romly, Bonnie Bunyau Gustin, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan ramai lagi.

Nama mereka kekal dalam lipatan sejarah sukan negara dan akan dikenang sampai bila-bila sebagai individu yang mengharumkan nama negara.

Lebih menakjubkan, ada di antara mereka yang mampu memecahkan rekod sedia ada, sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara disertai.

Kejayaan mereka merangkul pingat jelas membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai di dalam dunia ini, lebih-lebih lagi apabila kesemua mereka adalah insan istimewa.

Kekurangan tersebut sedikit pun tidak menghalang mereka untuk meraih kejayaan, sekali gus menginspirasi orang ramai di luar sana untuk terus berusaha.

Terima kasih kepada semua atlet para negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.

Kami hargai perjuangan dan pengorbanan anda di medan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Jepun baru-baru ini.

Klik di sini untuk terus membaca