PADA tanggal 13 September 2021 telah tercatat satu sejarah dalam dunia politik negara apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik. Belum pernah lagi dalam sejarah negara... Klik di sini untuk terus membaca

PADA tanggal 13 September 2021 telah tercatat satu sejarah dalam dunia politik negara apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Belum pernah lagi dalam sejarah negara berlaku satu gencatan politik menyaksikan seteru politik yang sejak sekian lama bermusuh akhirnya duduk semeja dan bersedia untuk bekerjasama.

Memang sudah sepatutnya kedua- dua pihak untuk berlapang dada dan hentikan dulu sengketa politik buat seketika demi rakyat dan negara. Tunggulah sehingga Covid-19 ini dapat ditangani dan usaha-usaha pemulihan dapat dilakukan.

Apabila tiba masa nanti laksanakan pilihan raya dan kita lihat siapa yang mampu dapat menawan hati rakyat untuk mentadbir negara.

Bagaimanapun, ada pihak menganggap bahawa dengan perjanjian yang telah ditandatangani itu akan menyaksikan situasi dalam Parlimen akan berjalan lebih aman, tetapi itu tidak berlaku sejak Dewan Rakyat bersidang semula.

Sebenarnya pembangkang masih perlu mainkan peranan mereka untuk mengkritik dan memberikan pelbagai cadangan kepada kerajaan.

Ramai yang salah faham tentang perkara ini kerana tidak semestinya dengan adanya perjanjian tersebut maka kerajaan dapat laluan mudah di Dewan Rakyat.

Hanya enam perkara yang dipersetujui dan sekiranya kerajaan gagal untuk menunaikan dan melaksanakan klausa-klausa tertentu dan mana-mana transformasi yang digariskan, adalah satu pelanggaran dan boleh mengakibatkan penamatan perjanjian berkenaan.

Enam perkara tersebut ialah Pemerkasaan Pelan Covid-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

Antara persefahaman yang dicapai ialah kerajaan hendaklah berusaha dengan ikhtiar terbaik melaksanakan semua transformasi yang dicadangkan dan dalam aturan masa yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, sebagai balasan kepada penunaian dan pelaksanaan transformasi yang digariskan, MoU itu menyebut, Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk melaksanakan beberapa perkara mengikut masa material.

Antara lain, PH bakal mengambil pendirian sama ada menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 termasuk undang-undang pembekalan atau kewangan berkaitan, selepas proses penggubalan itu dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.

Selain itu, PH boleh menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul kerajaan atau RUU lain yang kegagalan meluluskannya merupakan satu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan terhadap kerajaan selepas proses penggubalan itu dirundingi dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya.

Selain itu, MoU berkenaan menyebut kandungannya akan didedahkan kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban kedua-dua pihak.

Ada pihak melihat bahawa masa depan politik negara akan terus tidak menentu pada masa depan yang menyaksikan tiada pihak akan mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Barisan Nasional (BN) sudah merasai nikmat untuk mentadbir negara dengan tenang dan aman selama 60 tahun apabila parti itu mampu mendapat majoriti dan membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, dominasi BN berakhir apabila Pilihan Raya Umum ke-14 menyaksikan parti itu kalah kepada PH, namun selepas PH tumbang wajah politik negara berubah apabila muncul lebih banyak parti-parti baharu.

Atas sebab itu, pada masa hadapan perjanjian yang serupa mungkin akan wujud semula bagi mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dan tenang.

Dalam soal ini, tiada pihak yang menang atau pun kalah, yang penting ialah menyelamatkan rakyat jadi misi utama dan bukan kepentingan politik masing-masing.

Justeru, kita amat berharap agar kedua-dua pihak benar-benar ikhlas antara satu-sama lain dan mengetepikan agenda masing-masing.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca