[INFOGRAFIK] MySejahtera adalah aplikasi penjejak kontak rapat dan pengawasan Covid-19 yang bertujuan mengawal penularan wabak maut berkenaan di negara ini. Ia dibangunkan bagi membantu pengguna melakukan penilaian kesihatan kendiri, sekali... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] MySejahtera adalah aplikasi penjejak kontak rapat dan pengawasan Covid-19 yang bertujuan mengawal penularan wabak maut berkenaan di negara ini.

Ia dibangunkan bagi membantu pengguna melakukan penilaian kesihatan kendiri, sekali gus memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak berdasarkan maklumat diperoleh.

Oleh yang demikian, pengurusan serta pengawasan berkaitan wabak berkenaan dapat ditangani dengan lebih pantas, efisien dan berkesan.

Bagaimanapun, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang membangunkan aplikasi berkenaan untuk menangani masalah Covid-19.

Rata-rata negara di dunia ini turut membangunkan aplikasi seumpama itu untuk mengawal wabak berkenaan dan menjejak individu yang dijangkiti.

Di Asia Tenggara sebagai contoh, kesemua 10 negara anggota ASEAN mempunyai aplikasi pengawasan Covid-19 masing-masing.

Setiap satunya mempunyai fungsi yang hampir sama iaitu mengawal penularan Covid-19, menjejak pesakit dan kontak rapat serta mengurus pemvaksinan dalam kalangan pengguna.

Walaupun MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia masih mempunyai beberapa kelemahan namun ia telah dinamakan sebagai salah satu aplikasi pengawasan Covid-19 terbaik yang ada di dunia.

Menurut laman web SpaceOTechnologies, MySejahtera mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

"MySejahtera membolehkan KKM mengawal keadaan kesihatan pesakit dalam masa sebenar, sekali gus membantu pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi menyediakan rawatan diperlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, laman web teknologi itu menyifatkan usaha kerajaan Malaysia menyenaraikan pusat kesihatan berhampiran pada aplikasi berkenaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan rawatan diperlukan sebagai satu kelebihan kepada MySejahtera.

"Aplikasi tersebut juga tidak memerlukan ruang storan yang besar dan pembangun sentiasa mengemas kini serta membaiki pepijat dari masa ke masa,” tambahnya.

Selain MySejahtera, laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu turut menyenaraikan aplikasi terbaik lain terdiri daripada TraceTogether yang dikeluarkan oleh Singapura, COVID Safe (Australia), COVID Tracker (Ireland) dan Arogya Set (India).

Klik di sini untuk terus membaca