KETIKA kerajaan mengumumkan pembukaan semula Langkawi untuk sektor pelancongan, kedengaran banyak suara negatif dari pulau peranginan itu. Ada penduduk Langkawi melahirkan kebimbangan kes Covid-19 akan meningkat ekoran kemasukan pelancong... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA kerajaan mengumumkan pembukaan semula Langkawi untuk sektor pelancongan, kedengaran banyak suara negatif dari pulau peranginan itu.

Ada penduduk Langkawi melahirkan kebimbangan kes Covid-19 akan meningkat ekoran kemasukan pelancong dari negeri-negeri lain.

Kebimbangan mereka semakin ketara menjelang pembukaan gelembung pelancongan yang dijadualkan pada 16 September lalu.

Seperti yang dijangka, memang ramai yang datang ke pulau berkenaan sehingga jeti di Kuala Perlis penuh sesak dengan pengunjung.

Bagaimanapun, kebimbangan penduduk di Langkawi semakin hari semakin berkurangan apabila kemasukan pelancong tidaklah seramai yang disangka.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Jalil memberitahu penulis, mereka yakin dengan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin.

"Sebelum ini orang Langkawi cukup takut gelombang pertama kemasukan pelancong yang akan bawa musibah.

"Waktu itu orang ramai sebab cuti sekolah tetapi sekarang jumlah yang masuk melancong tidak terlalu ramai.

"Kami bimbang sebab ada pihak mengatakan orang Langkawi akan jadi tikus makmal, sama macam Phuket Sandbox yang pernah dihentikan sekejap sebab kes meningkat,” katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di Langkawi.

Menurut Jalil, jumlah pelancong pada ketika ini sudah tidak seramai pada 16 September lalu dan orang Langkawi mula yakin projek rintis itu akan berjaya.

"Thailand sekarang pun nampak sudah berjaya dengan pembukaan semula Phuket dan bakal menjadikan Danok yang merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Malaysia itu sebagai lokasi kedua gelembung pelancongan di sana.

"Bagaimanapun, buat masa sekarang Thailand belum membenarkan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke negara itu,” katanya.

Kata Jalil, sekurang-kurangnya, orang Langkawi sudah boleh bekerja semula dan cari pendapatan untuk menampung kehidupan.

"Cuma harapan kami segala peraturan yang telah ditetapkan kena dilaksanakan dengan baik supaya Langkawi ini lebih selamat untuk semua pihak. Kena jaga SOP (prosedur operasi standard),” ujarnya. Untuk rekod, seramai 20,257 pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu sejak pembukaan projek rintis gelembung pelancongan mulai 16 September hingga Sabtu lalu. Secara purata pulau tersebut mencatat kemasukan 2,000 pelancong sehari sejak 16 September lalu dengan 1,500 pelancong masuk melalui laluan udara dan 500 melalui feri.

DESTINASI PELANCONGAN LAIN

Difahamkan kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk buka semula pusat peranginan lain seperti di Pulau Redang, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman serta pusat peranginan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands termasuk Melaka.

Atas sebab itu, kita amat berharap agar Langkawi akan terus jadi model penting untuk membuka semula industri pelancongan negara tempatan yang sudah mengalami kerugian sebanyak RM100 bilion tahun ini selepas berlaku gelombang ketiga Covid-19.

Berdasarkan unjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, seramai satu juta rakyat yang terlibat dalam sektor tersebut akan kehilangan pekerjaan.

Jadi projek rintis ini sangat penting untuk kita semua, jika ia gagal maka terdapat kemungkinan usaha ini tidak dapat dilaksanakan di tempat-tempat lain dalam waktu terdekat.

Sudah pasti kita tidak mahu perkara itu berlaku demi kelangsungan ekonomi rakyat dan negara.

Oleh yang demikian, tanggungjawab untuk memastikan sektor pelancongan dibuka semula terletak di atas bahu semua pihak.

Ramai sudah tidak sabar untuk bercuti selepas hampir setahun terkurung di rumah masing-masing. Dengan kelonggaran yang diberikan, gunakanlah dengan sebaiknya.

Semoga dalam tempoh terdekat ini kita akan dapat mendengar lebih banyak berita baik daripada kerajaan.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca