SHAH ALAM - Beberapa pengusaha ladang kelapa sawit di negara ini mengakui sukar mendapatkan rakyat tempatan untuk bekerja dalam sektor tersebut.
Seorang kontraktor pengurus ladang kelapa sawit di Raub, Pahang, Mohd Fauzi Nasruddin berkata, sejak pihaknya mengiklankan kekosongan jawatan tersebut pada Mei lalu, hanya 15 orang warga tempatan yang menghubunginya bagi bertanyakan peluang pekerjaan tersebut.
Beliau yang menguruskan kira-kira 7,000 hektar ladang di sekitar Pahang berkata, daripada kesemua individu berkenaan, hanya dua orang yang datang dan diterima bekerja di ladang berkenaan.
"Apabila mereka menghubungi saya, saya beritahu dahulu mengenai situasi dan keadaan bekerja di ladang yang agak berat.
"Contohnya, setiap hari kita kena tarik dan sorong buah daripada pokok kerana kita masih menggunakan cara manual.
"Apabila kerja di ladang ini, mereka juga biasanya kena sesuaikan diri kerana akan tinggal di kawasan estet,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Penolong eksekutif ladang kelapa sawit di Perlis yang hanya mahu dikenali sebagai Khairil pula berkata, kurang kemahiran dan keupayaan untuk mencapai sasaran ditetapkan pihak pengurusan merupakan antara punca warga tempatan kurang terlibat sebagai pekerja ladang berbanding warga asing.
Beliau berkata, beberapa orang anak muda tempatan yang pernah bekerja di ladangnya terpaksa diberhentikan kerana hasil kerja tidak memuaskan.
"Lazimnya bagi kerja memotong buah sawit, pekerja asing seperti warga Indonesia boleh mencapai dalam 150 tandan sehari. Tetapi pekerja tempatan tidak boleh capai jumlah tersebut.
"Baru-baru ini, anak muda yang baru habis belajar cuba bekerja sebagai pemotong buah sawit. Tapi dia tidak boleh teruskan kerana hanya mampu memotong 50 tandan sehari,” ceritanya.
Klik di sini untuk terus membaca