[INFOGRAFIK] Sebanyak sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka menjadi medan pertempuran sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung 20 November nanti.
Ia susulan majoriti tipis dimenangi oleh penyandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lepas.
Kesemua kerusi tersebut mencatatkan majoriti tipis kurang daripada 1,000 undi, sekali gus meningkatkan risiko kepada mereka untuk mempertahankannya pada PRN tersebut.
Kerusi tersebut ialah Lendu, Taboh Naning, Gadek, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Klebang, Rim dan Merlimau.
Enam daripada kerusi tersebut disandang oleh BN (Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, RIM dan Merlimau), manakala Amanah (Durian Tunggal), PKR (Klebang) dan DAP (Gadek) masing-masing satu kerusi.
Dalam pada itu, penyandang kerusi Asahan dan Merlimau dilihat berdepan risiko lebih tinggi untuk mempertahankan kerusi tersebut susulan majoriti undi diperoleh pada PRU14 lepas di bawah 300.
Kerusi Asahan yang disandang oleh Datuk Seri Abdul Ghafar Attan dari BN mempunyai majoriti undi sebanyak 275 manakala kerusi Merlimau yang disandang oleh Datuk Roslan Ahmad juga dari BN mempunyai majoriti undi sebanyak 130.
Sementara itu, kerusi Gadek yang disandang oleh G.Saminathan dari DAP juga berdepan kesukaran susulan majotiti undi dimenangi pada PRU14 lepas hanya 307.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November 2021.
PRN tersebut diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN Melaka pada 4 Oktober 2021 selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimimpnan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat bekas ADUN tersebut ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Klik di sini untuk terus membaca