[INFOGRAFIK] Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan meragut nyawa penduduk Malaysia, malah penularannya turut menyebabkan penduduk di negara ini jatuh miskin. Dalam tempoh dua tahun, isi rumah di Malaysia dilihat telah beralih... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Covid-19 bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan meragut nyawa penduduk Malaysia, malah penularannya turut menyebabkan penduduk di negara ini jatuh miskin.

Dalam tempoh dua tahun, isi rumah di Malaysia dilihat telah beralih kumpulan pendapatan daripada tinggi kepada rendah.

Lebih membimbangkan apabila jumlah isi rumah yang tergelincir ke lembah kemiskinan tegar juga bertambah.

Sehingga Oktober 2021, seramai 262,888 ketua isi rumah (KIR) berada dalam kelompok miskin tegar, kata Mashitah @ Suhaila Suid.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 742,469 KIR yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

"Daripada jumlah tersebut, KIR Melayu adalah golongan miskin tegar yang paling tinggi, mewakili 58.4 peratus.

"Sementara kaum India pula mewakili 4.5 peratus, Cina (2.9 peratus) dan lain-lain etnik (34.3 peratus),” katanya kepada Sinar Premium.

Jumlah tersebut berdasarkan kepada KIR yang mendaftar di dalam sistem eKasih yang mana selebihnya iaitu 243,840 berstatus miskin, tambahnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Covid-19 menyebabkan hampir 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini beralih kepada B40.

"Kerajaan menganggarkan jumlah kemiskinan isi rumah di Malaysia telah meningkat daripada 405,000 pada 2019 kepada 640,000 pada tahun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, peningkatan tersebut turut dialami oleh kebanyakan negara lain di seluruh dunia berpunca daripada keadaan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

"Ini adalah panggilan peringatan untuk kita semua pembuat dasar supaya meningkatkan dan melaksanakan reformasi serta polisi bagi membendung kemiskinan.

"Ia termasuklah usaha meningkatkan taraf hidup mereka yang berada dalam kumpulan mengalami nasib kurang baik,” tambahnya.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar miskin mutlak di Malaysia meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 8.4 peratus pada 2020 daripada 5.6 peratus pada 2019.

Jumlah miskin tegar pula direkodkan sebanyak 1.0 peratus pada 2020 berbanding 0.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Jumlah tersebut diukur berdasarkan metodologi PGK 2019 iaitu PGK nasional sebanyak RM2,208 berbanding mengguna pakai metodologi 2015 iaitu RM980 sebulan.

Dalam pada itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun negatif 10.3 peratus dengan merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

Katanya, penurunan tersebut disumbangkan oleh isi rumah yang kehilangan kerja atau pengurangan pendapatan.

"Pada tahun 2020, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 telah bertambah sebanyak 12.5 peratus,” katanya.

Dr Mohd Uzir berkata, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada B40.

"Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus dan 36.9 peratus berbanding 2019,” katanya.

Beliau berkata, Covid-19 juga menjejaskan pendapatan isi rumah mereka yang berada dalam kumpulan T20.

Sebanyak 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan tersebut telah beralih kepada kumpulan M40, katanya.

Klik di sini untuk terus membaca