[INFOGRAFIK] Pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat adalah lintas langsung yang dinanti-nantikan oleh majoriti rakyat di negara ini.
Mata dan telinga puluhan juta rakyat Malaysia sudah tentu akan tertumpu kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tidak kira, sama ada mereka menontonnya melalui televisyen, telefon bimbit, komputer ataupun tablet, semuanya mengakses lintas langsung tersebut dengan satu tujuan.
Masing-masing mahu mengetahui apakah manfaat yang dakan mereka peroleh dalam bajet yang dirancang oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.
Sudah tentu majoriti rakyat mengharapkan lebih daripada apa yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021.
Besar atau kecil peruntukan untuk negara dan banyak atau sikit manfaat bakal diterima rakyat akan terjawab hari ini pada jam 4 petang melalui pembentangan yang dibawakan secara langsung dari Dewan Rakyat.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan bahawa defisit secara umumnya masih kekal besar untuk Bajet 2022.
Jelasnya, defisit besar bermaksud keperluan kerajaan berbelanja lebih bagi menguruskan proses pemulihan ekonomi dengan lebih efektif.
Namun, tahun depan mungkin disebabkan kenaikan harga minyak mentah dunia dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik, hasil kerajaan mungkin lebih baik dan membolehkan kerajaan berbelanja lebih banyak, katanya.
Menyorot kembali pembentangan Bajet Malaysia dalam tempoh enam tahun sejak 2016, Belanjawan 2021 adalah bajet terbesar yang pernah dibentangkan di Parlimen setakat ini.
Bajet bertemakan "Teguh kita, Menang Bersama” itu memperuntukan RM322.5 bilion yang mana RM236.5 untuk belanja mengurus dan RM69 bilion untuk belanja pembangunan.
Belanjawan 2021 itu memperuntukkan ratusan billion ringgit kerana ia turut memasukkan sekali peruntukan khas RM17 bilion bagi menangani dan membendung penularan Covid-19.
Bagaimanapun, peruntukan tersebut tidak termasuk simpanan luar jangka yang memperuntukkan sejumlah RM2 bilion.
Dalam tempoh sama, Bajet Malaysia kedua terbesar dibentangkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pada ketika itu baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional.
Menggunakan nama Belanjawan 2019, bajet tersebut memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion.
Bajet bertemakan "Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” memperuntukkan RM259.8 untuk belanja mengurus dan RM54.7 bilion untuk belanja pembangunan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang memegang jawatan Menteri Kewangan pada ketika itu menjelaskan, Balanjawan 2019 memperuntukkan sejumlah wang yang besar kerana yakin kerajaan PH mampu mengutip balik hasil lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Berdasarkan dua bajet terbesar yang dibentangkan sebelum ini, tidak mustahil Bajet 2022 juga melibatkan peruntukan yang besar.
Ini kerana sejak Covid-19 menular, negara berdepan dengan pelbagai krisis yang menjejaskan rakyat secara keseluruhan.
Malah, Ismail Sabri dalam Wawancara Bajet 2022 Bersama Perdana Menteri pada Rabu menekankan bantuan langsung secara tunai akan diteruskan dalam Bajet 2022.
"Bajet yang lepas banyak insentif dan sumbangan diberikan kepada rakyat secara tunai dan sebagainya, perkara yang sama kita akan teruskan.
"Seperti saya kata tadi, walaupun pandemik sedang berakhir, saya difahamkan yang sudah tiada simpanan lagi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca