KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 15 peratus kepada semua peminjam bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menawarkan proses bayaran balik pinjaman PTPTN berasaskan tiga kaedah iaitu diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh dan diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
"Kaedah ketiga pula adalah diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit akaun terus mengikut jadual.
"Sebagai pinjaman, semestinya PTPTN satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam dan jika tidak ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul turut menegaskan kerajaan menyediakan peruntukan RM6.6 bilion bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Tambahnya, dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), kerajaan telah mengenal pasti TVET sebagai salah satu pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri negara dengan lebih baik.
"Peruntukan akan disalurkan di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan dengan tumpuan diberikan kepada usaha memenuhi keperluan industri semasa.
"Sehubungan itu, peruntukan tambahan RM200 juta disediakan untuk program usaha sama dengan industri termasuk Skim Latihan Dual Nasional dan program persijilan industri," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca