[INFOGRAFIK] Sebaik sahaja Covid-19 menular ke negara ini pada 2020, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membenarkan pengeluaran wang yang dicarum rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Sebaik sahaja Covid-19 menular ke negara ini pada 2020, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membenarkan pengeluaran wang yang dicarum rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kemudahan pengeluaran tersebut yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya itu bertujuan meringankan beban kewangan rakyat yang terkesan akibat impak wabak berkenaan.

Dianggarkan, sebanyak RM101 bilion wang caruman ahli KWSP telah diluluskan pengeluarannya sehingga ke hari ini menerusi tiga peringkat pengeluaran yang diperkenalkan iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Wang pengeluaran tersebut disalurkan kepada 7.4 juta ahli berusia 55 tahun ke bawah yang mencarum dalam KWSP.

Ternyata, kemudahan pengeluaran tersebut telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli dalam tempoh getir yang dilalui akibat Covid-19.

Susulan itu, ramai yang meminta agar kemudahan tersebut diteruskan sehingga kedudukan kewangan mereka yang terjejas pulih seperti biasa.

Bagaimanapun, kerajaan tidak dapat meneruskan perkara tersebut kerana bimbang mereka yang mencarum tiada simpanan apabila bersara kelak.

Tambahan pula, KWSP bukanlah simpanan biasa sebaliknya ia merupakan jaminan hari tua bagi mamastikan keselesaan ahli selepas bersara.

Justeru, KWSP kini fokus membantu ahlinya membina semula simpanan persaraan yang telah dikeluarkan melalui kemudahan pengeluaran diberikan sebelum ini.

Keputusan tersebut dibuat susulan lebih enam juta ahlinya berdepan penyusutan simpanan selepas pengeluaran berterusan dilakukan.

"Seramai 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka manakala seramai 3.6 juta daripada jumlah tersebut pula mempunyai kurang daripada RM1,000 simpanan, sekali gus menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan,” menurut Jabatan Hal Ehwal Komunikasi Korporat KWSP.

Oleh yang demikian, pencarum perlu menambah masa bekerja antara empat hingga enam tahun untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan ketika Covid-19, tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca