SEJAK awal memang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sepatutnya diadakan kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Tetapi apakan daya, ia sudah pun berlaku dan mahu tidak mahu ia mesti dilaksanakan mengikut undang-undang yang ditetapkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan oleh Yang di-Pertua Negeri di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka.
Ia menjadi suatu pilihan raya yang diadakan tanpa kerelaan kepada pengundi-pengundi di Melaka sehingga ada yang mengatakan mereka tidak mahu keluar mengundi, sekali gus menyebabkan terdapat kemungkinan besar peratusan turun mengundi berkurangan.
Tambah menyuramkan apabila PRN Melaka terpaksa diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.
Antara perkara yang tidak dibenarkan adalah penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, sebarang aktiviti secara walkabout dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka.
Selain itu, kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan bagi menyampaikan ceramah.
Ia menjadikan PRN Melaka adalah yang paling sunyi dan tidak meriah seperti kebiasaannya. Boleh dikatakan, inilah pilihan tanpa raya.
Para wartawan yang bertugas di lapangan juga berhadapan cabaran kerana tidak berpeluang untuk mendengar ceramah berapi-api daripada calon-calon ataupun jurucakap kempen.
Ketika kempen pilihan raya sebelum ini, suasananya meriah apabila nama-nama besar dalam politik negara akan datang dan berceramah.
Mereka akan bercakap di hadapan ribuan dan ratusan orang. Ada yang pandai membuat lawak tetapi ada sesetengah ucapan yang membangkitkan semangat.
Calon juga diberikan peluang untuk memperkenalkan diri masing-masing dan bercakap di atas pentas.
Pada waktu inilah, pengundi menilai calon masing-masing. Kepetahan mereka berbicara adalah satu perkara yang penting bagi seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi realitinya pemilihan pengundi ada banyak faktor dan tidak sekadar boleh bercakap sahaja.
Bagaimanapun, pada pandangan pengundi, ADUN yang mampu berbicara dengan baik mampu untuk membawa suara rakyat pada sidang DUN nanti.
Atas sebab itulah, calon termuda Barisan Nasional (BN), Leong Hui Ying, 29, mendapat kritikan netizen kerana tidak fasih berbahasa Melayu susulan video tular ketika beliau ditemu ramah wartawan.
Bagaimanapun, calon berkenaan menafikan perkara tersebut dan menjelaskan bahawa beliau boleh berbahasa Melayu dengan baik.
Disebabkan tiada kempen dilakukan secara terbuka, banyak kempen secara dalam talian diadakan, namun timbul persoalan sama ada orang Melaka melihatnya atau tidak.
Mungkin pengundi muda akan lebih terdedah dengan kaedah sebegitu tetapi tidak kepada pengundi-pengundi yang sudah berusia. Mereka lebih gemar menonton televisyen dan mendengar radio.
Berdasarkan apa yang sedang dilakukan ketika ini, ia akan menjadi pedoman kepada semua pihak sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum yang mungkin dibuat tidak lama lagi.
Malah, PRN Sarawak juga akan diadakan dalam tempoh yang terdekat.
Berbalik kepada PRN Melaka, sejak hari penamaan calon pada Isnin lalu, tidak kedengaran sebarang isu-isu besar yang dibawa oleh mana-mana parti. Mungkin mereka menyimpan ‘peluru’ untuk kempen saat akhir nanti.
Setakat ini, perkara-perkara besar yang kedengaran hanyalah isu banjir yang dikatakan kerap berlaku di Melaka, selain isu-isu dalaman melibatkan parti masing-masing. Pergaduhan antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pas.
Masalah calon ‘katak politik berprinsip’ melibatkan dua bekas ADUN UMNO iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Namun, saya amat percaya bahawa kebanyakan pengundi sudah pun membuat keputusan masing-masing.
Kebiasaannya, pengundi ‘otai’ akan terus berpegang kepada parti yang sudah berada dalam hati mereka sejak puluhan tahun, sementara pengundi muda pula mempunyai kriteria pemilihan tersendiri.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca