MELAKA - Golongan muda wajar melakukan perubahan dengan menolak perbuatan gula-gula kempen pilihan raya baik dalam bentuk wang tunai atau barangan. Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, perkara tersebut seakan sudah... Klik di sini untuk terus membaca

MELAKA - Golongan muda wajar melakukan perubahan dengan menolak perbuatan gula-gula kempen pilihan raya baik dalam bentuk wang tunai atau barangan.

Presiden Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, perkara tersebut seakan sudah menjadi budaya sejak sekian lama oleh parti-parti politik di negara ini dan pengundi muda wajar menghentikan amalan membeli undi itu.

Katanya, bukan lagi satu rahsia umum, perbuatan memberi sumbangan berupa keperluan harian, pakaian dan wang ringgit adalah sebahagian taktik calon memenangi hati pengundi.

"Untuk menghentikan budaya itu, anak muda atau belia perlu katakan tidak kepada apa jua jenis sogokan semasa kempen pilihan raya berlangsung.

"Jangan menjatuhkan maruah dan imej anak muda sebagai harapan negara. Kita mulakan tradisi baharu bahawa Gen-Y mampu mengubah perbuatan jelik ini,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata, generasi muda atau Gen-Y perlu menyedari sepenuhnya hakikat bahawa sogokan pilihan raya adalah sangat bahaya kerana ia melibatkan pemilihan barisan kepimpinan yang akan menerajui sesebuah negeri dan negara.

"Generasi muda kini lebih terbuka dan sedar betapa bahaya amalan rasuah yang telah bermaharajalela sejak sekian lama di negara ini.

"Hanya kerana sedikit imbuhan, kita akhirnya gadaikan masa depan negara dengan memilih pemimpin yang tidak bersih,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca