Penyandang dan bakal calon kerusi N6, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, beliau sendiri sudah memulakan gerak kerja dan menyantuni penduduk di kawasan DUN berkenaan, sebaik sahaja PRN Sarawak ke-11 berakhir pada 2016.
Fazzruddin berkata, antara penekanan beliau adalah dengan memastikan pembangunan infrastruktur dan sosial yang berterusan sejak dari PRN 11.
"GPS juga banyak membantu masyarakat menghadapi cabaran Covid-19 dengan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk bakul makanan, bantuan kewangan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), bantuan sewa rumah dan bermacam lagi.
"Justeru, saya yakin pengundi di Sarawak khususnya N6 Tupong mampu menilai pembangunan dan kestabilan yang dilakukan oleh GPS dan yakin mereka menyokong penuh GPS," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium di sini hari ini.
Pada PRN11 Sarawak, Fazzrudin menang dengan majoriti sebanyak 8,055 undi di DUN Tupong menewaskan pencabarnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurhanim Mokhsen.
Mengulas lanjut, Fazzruddin berkata jentara parti GPS, terutamanya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di DUN Tupong akan digerakkan secara aktif sejurus prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen PRN Sarawak diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak lama lagi.
Fazzruddin yang juga Timbalan Ketua Pemuda PBB berkata GPS sudah pun bersedia dari sudut teknikalnya iaitu berkenaan ‘dokumentasi’, pergerakan dan program calon bagi persiapan sempena hari Penamaan Calon, pada Isnin ini.
"Pihak kami sentiasa menekankan aspek keselamatan dan SOP agar penyokong GPS dan masyarakat sentiasa dalam keadaan yang selamat," katanya. Klik di sini untuk terus membaca