SHAH ALAM - Dua tokoh wanita, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Datuk Yasmin Mahmood mempertahankan keputusan kerajaan melantik Izzana Salleh sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Dr Jemilah yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dua tokoh wanita, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Datuk Yasmin Mahmood mempertahankan keputusan kerajaan melantik Izzana Salleh sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dr Jemilah yang juga bekas Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau turut menyokong keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk memilih Izzana terlibat dalam Lembaga Pengarah MDEC pada masa hadapan.

Jelas beliau, anak perempuan kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil itu adalah pemimpin yang boleh membawa perubahan di atas keperibadian yang kuat serta kelayakan beliau yang tinggi.

"Satu pelantikan yang amat diperlukan dalam mempelbagaikan kualiti kepimpinan negara.

"Izanna bukan sahaja sangat berkelayakan dan mempunyai pencapaian mengkagumkan, malah beliau juga merupakan individu yang boleh membawa perubahan diperlukan melalui asas keperibadian yang kuat," katanya melalui ciapan Twitter peribadi pada Rabu.

DR JEMILAH

Pada Rabu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mempertahankan tindakan beliau melantik Izzana sebagai pengarah dalam MDEC.

Ujar Annuar, pelantikan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan itu berdasarkan merit dan Izzana merupakan seorang wanita yang berkelulusan tinggi serta mempunyai pengalaman tersendiri.

Menurut beliau lagi, KKMM yakin Izzana mampu memberikan sumbangan dan mewakili suara wanita dalam syarikat yang penting seperti MDEC.

"Dari segi kelayakan, jelas beliau layak malah lebih daripada layak dan saya nak jelaskan, jawatan yang dilantik oleh Kementerian Kewangan ini adalah bukan eksekutif.

"Ini bermakna bukannya beliau perlu ada pada setiap masa buat kerja di situ. beliau adalah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif yang hadir dalam mesyuarat. Beliau tidak ada untuk melakukan operasi harian.

"Seseorang yang duduk dalam banyak syarikat sebagai pengarah tidak menjadi masalah tapi ini adalah Ahli Lembaga Bukan Eksekutif," katanya.

Isu pelantikan Izzana menjadi polemik susulan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto bertanyakan rasional di sebalik pelantikan Izzana atau nama sebenarnya Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh ke dalam jawatan tinggi di MDEC.

YASMIN

Dalam perkembangan lain, keputusan pelantikan Izzana itu juga turut mendapat pujian daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Heriot-Watt University Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood.

Jelas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC itu, Izzana yang dikenalinya adalah seorang wanita yang sangat bijak, sangat berbakat besar serta mendapatkan pendidikan di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Sehingga kini, polemik pelantikan Izanna menjadi pertikaian memandangkan beliau merupakan anak kepada Shahrizat yang juga bekas Ketua Wanita UMNO.

Pada masa sama, kerajaan Malaysia sebelum ini menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation (NFC) dengan Izzana sebagai Ahli Lembaga Pengarah ketika itu dan juga antara defendan kes tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca