SHAH ALAM - UMNO belum membuat sebarang ketetapan untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, perkara tersebut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO belum membuat sebarang ketetapan untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, perkara tersebut belum dibincangkan dan parti terbesar Melayu itu lebih berminat untuk memfokuskan mengenai kesejahteraan rakyat serta ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Politik ini sangat dinamik dan progresif. Dalam keadaan sekarang, kita fokus keputusan parti. Tidak timbul mengenai perkara ini (mempertahankan PN) kerana ia belum dibincangkan lagi,” katanya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan salah satu kerjasama politik PRU15 adalah mempertahankan kerajaan PN yang ketika ini dianggotai UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Armand Azha turut meminta semua pihak supaya tidak keliru dengan menegaskan kerajaan sedia ada adalah Kerajaan Keluarga Malaysia dan bukan kerajaan PN.

"Saya nak tanya ini kerajaan PN atau kerajaan Keluarga Malaysia? Jadi jangan keliru. Ini adalah sebuah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bermakna ia di bawah kepimpinan UMNO.

"Tugas UMNO kini memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada. UMNO juga konsisten menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah, tiada PRU dalam masa terdekat dan fokus untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca