SHAH ALAM - Lekukan tropika dan luruan monsun merupakan dua faktor utama menyebabkan hujan berterusan sekali gus berlaku banjir teruk di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, lekukan tropika jarang berlaku di negara ini dan faktor itu bersama luruan monsun menyebabkan keadaan cuaca bertambah buruk.
"Keadaan cuaca hujan berterusan ini berpunca sistem yang dikenali sebagai lekukan tropika yang mula terbentuk di Laut China Selatan serta bergerak merentasi Semenanjung memasuki Pahang, Selangor, Kuala Lumpur melalui Selat Melaka.
"Lekukan tropika ini merupakan peringkat awal bagi pembentukan satu sistem yang dikenali sebagai Siklon Tropika. Ia juga perkara yang jarang berlaku dan agak sukar diramal kerana sistemnya agak kecil dan dipengaruhi oleh faktor lain seperti luruan monsun.
"Luruan monsun pula ialah angin dari benua China dan tiba di negara kita menyebabkan episod hujan lebat di Pantai Timur Semenanjung pada musim tengkujuh dan kali ini juga menyebabkan hujan lebat di negeri Pantai Barat Semenanjung,” katanya.
Muhammad Helmi juga tidak menolak kemungkinan taufan Rai yang membadai Filipina pada Khamis turut menjadi punca hujan berterusan di Lembah Klang.
"Ada kemungkinan taufan tersebut mempengaruhi keadaan corak pergerakan sistem lekukan tropika namun ia tidak memberi kesan secara langsung dengan taufan tersebut memperlahankan sistem lekukan itu.
"Apabila pergerakan lekukan itu perlahan, maka impaknya akan menjadi tinggi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca