SEKTOR ekonomi dan kesihatan awam Malaysia yang hampir lumpuh selepas dilanda pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya. Kini krisis kekurangan pekerja semakin memburukkan lagi fasa pemulihan perniagaan rakyat sehingga membawa kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SEKTOR ekonomi dan kesihatan awam Malaysia yang hampir lumpuh selepas dilanda pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

Kini krisis kekurangan pekerja semakin memburukkan lagi fasa pemulihan perniagaan rakyat sehingga membawa kepada musibah gulung tikar.

Menurut akhbar harian Tamil Malaysia Nanban, sektor perindustrian dan perniagaan yang telah beroperasi semula selepas berakhirnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dipercayai sebahagian daripadanya menghadapi bahaya penutupan buat selama-lamanya.

Malaysia Nanban melaporkan, berdasarkan senario itu, enam sektor perniagaan utama melibatkan peniaga-peniaga masyarakat India turut menerima tempias masalah kekurangan pekerja.

Enam sektor itu ialah perniagaan restoran dan makanan, kitar semula logam, pendandanan rambut, kedai-kedai emas, kontraktor dan kedai kain.

Sektor-sektor tersebut dikatakan memerlukan kira-kira 90,000 orang pekerja bagi menampung keperluan operasi dan pengeluaran perniagaan.

Namun, jumlah sebesar itu gagal dipenuhi dengan mengambil pekerja warga tempatan disebabkan rakyat Malaysia terutama masyarakat India sendiri kurang berminat untuk bekerja dalam sektor-sektor berkenaan.

Malaysia Nanban menjelaskan, sektor perniagaan restoran dan makanan memerlukan seramai 30,000 orang pekerja.

Sementara itu, sektor perniagaan kitar semula logam pula kekurangan kira-kira 15,000 orang pekerja, manakala pendandan rambut memerlukan kira-kira 10,000 orang pekerja.

Ia diikuti dengan perniagaan kedai emas yang turut mencari kira-kira 10,000 orang pekerja.

Seterusnya, kontraktor-kontraktor kaum India juga memerlukan 10,000 orang pekerja dan perniagaan kedai kain seramai 10,000 orang pekerja.

Realitinya, Malaysia Nanban menjelaskan bahawa sebelum negara berdepan pandemik, sektor-sektor perniagaan masyarakat India sememangnya menghadapi masalah ke-kurangan pekerja.

Kebanyakan kekurangan tersebut telah diimbangi dengan mengimport pekerja-pekerja asing dari India mahupun Bangladesh.

Ekoran pandemik Covid-19, kebanyakan pekerja asing telah pulang ke negara masing-masing menyebabkan sektor perniagaan masyarakat India menerima tamparan hebat.

Malangnya, kekosongan ditinggalkan itu tidak dapat ditampung oleh pekerja-pekerja tempatan walaupun mereka ditawarkan gaji lumayan.

Dalam pada itu, Malaysia Nanban menegaskan bahawa kerajaan Malaysia masih belum membuka platform pekerjaan untuk pekerja-pekerja asing khususnya dari India dan beberapa negara lain.

Krisis kekurangan pekerja dalam kalangan perniagaan peniaga-peniaga India menyebabkan mereka sukar untuk menstabilkan operasi, sebaliknya terpaksa mengambil keputusan menutup perniagaan.

Baru-baru ini, susulan sektor perladangan dan pembinaan mengalami masalah kekurangan pekerja, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk membuat perjanjian persefahaman dengan negara Indonesia dan Bangladesh.

Dengan perjanjian tersebut, pekerja-pekerja asing daripada kedua-dua negara itu akan dibenarkan masuk ke Malaysia bagi memenuhi kekurangan dalam sektor perladangan dan pembinaan.

Justeru, Malaysia Nanban meminta kerajaan Malaysia turut mengutamakan keperluan enam sektor perniagaan melibatkan perniagaan masyarakat India dan memberi kebenaran untuk mengimport pekerja asing.Krisis kekurangan pekerja bukan senario yang boleh dipandang ringan.

Justeru, pihak kerajaan perlu segera mengambil langkah-langkah yang sewajarnya agar kelangsungan hidup golongan peniaga dan rakyat tidak terjejas.

Jika krisis kekurangan pekerja tidak ditangani, ia boleh membantutkan pembangunan dan kestabilan ekonomi negara.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca