SHAH ALAM - Walaupun menerima pelbagai tekanan sejak seminggu lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meminta semua pihak bersabar kerana kebenaran akan muncul juga akhirnya.Kata Azam, beliau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Walaupun menerima pelbagai tekanan sejak seminggu lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meminta semua pihak bersabar kerana kebenaran akan muncul juga akhirnya.

Kata Azam, beliau telah ‘menyerahkan dirinya’ kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk siasatan dan beliau percaya satu hari nanti semua orang akan tahu kebenarannya.

Tegas Azam lagi, beliau telah mengikuti segala protokol ditetapkan dan melakukan apa yang sepatutnya dilaksanakan.

"Saya berharap semua pihak dapat bersabar terlebih dahulu bagi mengetahui tentang kebenaran ini.

"Satu hari nanti pada waktu ketika yang sesuai, semua orang akan tahu juga kebenarannya,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum itu, beliau telah ditanya kenapa mengambil masa yang terlalu lama untuk respon ke atas tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Tegas Azam, dia sesekali tidak pernah merayu kepada mana-mana pihak atau parti politik untuk memihak kepadanya berhubung isu saham yang dihadapinya ketika ini.

Sebaliknya tegas beliau, dia sendiri akan menunjukkan kebenarannya pada masa dan ketika yang sesuai.

Buat masa ini jelasnya, biarlah pihak- pihak tertentu menilai dan melihat kes yang disebut-sebutkan oleh media masa pada masa ini.

"Bukan perlu untuk saya memaklum balas perkara seperti ini.

"Saya bukan ahli politik tetapi seorang pegawai tinggi kerajaan yang banyak kerja lain yang perlu diberi tumpuan dan diselesaikan

"Tidak ada keperluan kepada saya sebenarnya untuk saya memaklumkan kepada masyarakat kerana nanti nampak macam saya tiada kerja lain untuk dilakukan,” katanya.

AZAM -Foto Bernama

TIDAK AKAN BERUNDUR

Sementara itu, Azam turut menegaskan beliau tidak akan terikut-ikut dengan desakan pihak tertentu agar beliau berundur sebagai bos nombor satu SPRM.

Katanya, hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas beliau di SPRM iaitu Yang di-Pertuan Agong.

"Saya dengan tegas dan tetap dengan pendirian teguh saya untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

"Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya adalah Yang di-Pertuan Agong, selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Tegasnya, sebagai Ketua Pesuruhjaya, beliau bukan individu yang perlu terikut-ikut dengan rentak mana-mana pihak yang mempunyai agenda politik tertentu.

Katanya, perkara pertama yang perlu beliau beri keutamaan adalah memberi maklum balas kepada ahli lembaga penasihat SPRM.

"Mereka adalah orang yang perlu saya hormati dan mengetahui perkara ini terlebih dahulu.

"Selepas mereka diberi penerangan berhubung isu tersebut, ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan.

"Kalau perlu dirujuk kepada satu agensi lain atau jawatankuasa, saya tiada masalah. Mereka boleh menilai perkara isu ini,” katanya.

Nama Azam sejak seminggu lalu diheret kontroversi berikutan beliau didakwa memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.

Bagaimanapun pada satu sidang media khas, Azam menafikan sebarang salah laku dan mengatakan adiknya menggunakan akaun sistem depositori pusat (CDS) miliknya untuk memperoleh saham itu.

Klik di sini untuk terus membaca