Sila log masuk terlebih dahulu.

Nada untuk bos SPRM berbeza-beza, Pas tidak ada grup WhatsApp kah?

10 Januari 2022 08:36pm | Masa membaca: 4 minit
Isu pemilikan saham Ketua Pengarah SPRM tercetus apabila Edmund Terence meletakkan jawatan sebagai Ahli  Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Isu pemilikan saham Ketua Pengarah SPRM tercetus apabila Edmund Terence meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
A
A
A
Sebelum Mat Taici mengulas sikit isu bos nombor satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki elok Mat Taici bagi salam perkenalan kepada semua pembaca Sinar Premium.

Kolum pojok Mat Taici ini adalah penulisan santai di portal ini yang dipersembahan secara padat, sarkastik dan adakalanya bernada sindiran. Kata orang siapa makan cili, dia akan rasa pedasnya lah.

Mat Taici bukanlah pakar sangat silat dan taici politik, tapi kupasan Mat Taici adalah suara rakyat marhaen yang melalui keluh kesah hidup di bawah.

Mengimbas balik kes Ketua Pesuruhjaya nampak gayanya masih banyak tanda tanya dan pasti berlarut panjang.

Mat Taici masih ingat sidang media khas Azam minggu lalu yang menjelaskan, adiknya, Nasir Baki Nasir Baki menggunakan akaun saham miliknya untuk membeli jutaan saham daripada syarikat milikan awam sekitar tahun 2015 hingga 2016.

Beliau menegaskan saham-saham itu dibeli menggunakan pembiayaan dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh Nasir dan tiada kaitan dengan siasatan SPRM.

Bagaimanapun, jelas Azam yang sudah berkhidmat selama 37 tahun, saham-saham itu kemudiannya telah pun dipindahkan kepada akaun milik adiknya.

Kenyataan Azam itu bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) kononnya beliau memiliki sejumlah saham yang besar sebelum ini.

Dan mereka juga menuntut supaya sebuah pasukan penyiasat bebas rentas parti dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan segera bagi menyiasat perkara tersebut.
Disyorkan artikel berkaitan ini:


Isu yang mengaitkan Azam juga terus hangat diperkatakan apabila pakar ekonomi, Profesor Dr Edmund Terence Gomez meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) selepas panel tersebut didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Pada 7 Januari, Mat Taici pun bacalah berita berkaitan Azam di portal berita.

Berita pertama adalah Pemuda Pas mendesak Putrajaya mengadakan siasatan secara bebas berhubung isu pemilikan saham jutaan ringgit yang dikaitkan kepada Azam.

Malah Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, juga mahukan Azam 'direhatkan' sehingga siasatan itu selesai dan namanya dibersihkan.

Bersemangat Mat Taici baca kerana ada benarnya, sebab SPRM ini bukan agensi yang calang-calang. Eloklah disiasat kerana apabila dibuktikan tidak bersalah, maka nama SPRM akan jadi suci.

Bagaimanapun, pada malam hari keluar pula kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Cukup berbeza nadanya. Mat Taici pun hairan.

Kata Takiyuddin kenyataan Azam diharapkan dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu itu bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat sekali gus menggugat kestabilan negara.

Pelik juga, di saat jawapan Azam menimbulkan 1,001 persoalan, nada Setiausaha Agung Pas itu seolah-olah sudah cukup berpuas hati.

Dan semalam pula, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui kenyataan bertajuk ‘Apabila Media Menjadi Hakim’ di Facebooknya, tanpa menyebut sesiapa berkata;

“Mutakhir ini kita menyaksikan bagaimana peranan media dalam menyebarkan berita salah laku seseorang, sebelum ia dibawa kepada penentuan badan kehakiman.

“Pendekatan yang dilakukan itu berkonsepkan kebebasan media yang diamalkan oleh dunia Barat yang mendukung konsep demokrasi, bahawa suara rakyat adalah suara Tuhan,” tulisnya.

Sekali lagi Mat Taici hairan. Mana satu la Mat Taici nak bersetuju sebenarnya. Lebih parah, media pula yang disalahkan sedangkan agensi berkenaan memainkan tugas untuk melaporkan berita dan mencari kebenaran.

Kadang-kadang Mat Taici terfikir, depa ni tidak ada grup Whatsapp ke?

Pss: Entah la...
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Strategi 'serampang dua mata' PKR untuk hadapi PRU15
  2. Usul tergempar sukar lulus, agenda remeh suara rakyat?
  3. Anak sulung Najib jadi calon BN di Parlimen Pekan?
  4. Bekalan cip paksa Pelosi ke Taiwan
  5. Sampah angkasa dan mata-mata di langit