SHAH ALAM - Ketidakstabilan sokongan terhadap kerajaan negeri Johor yang ketika ini hanya memiliki satu majoriti merupakan antara sebab utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan dalam waktu terdekat. Ketua Pemuda UMNO Pasir... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketidakstabilan sokongan terhadap kerajaan negeri Johor yang ketika ini hanya memiliki satu majoriti merupakan antara sebab utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan dalam waktu terdekat.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambrose berkata, ia juga menyebabkan ketidakselesaan kepada kerajaan negeri kerana majoriti satu sokongan itu adalah datang daripada ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berstatus bebas.

Beliau berkata, ADUN yang dimaksudkan itu ialah ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full yang sebelum ini telah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyokong kerajaan gabungan negeri Johor sejurus selepas ‘Langkah Sheraton’.

"Itulah sebenarnya menyebabkan timbul ketidakselesaan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang daripada UMNO sendiri apabila beliau seolah-olah meletakkan nasib dan masa depan kerajaan negeri Johor ini atas satu sokongan daripada seorang yang bagi saya tidak boleh diharapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi ke-317 bertajuk ‘PRN Lagi: Pilihan Rakyat Atau Percaturan Politik’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis dalam program dihoskan Nani Roslan ialah Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan penganalisis politik, Mujibu Abd Muis.

Beliau berkata, ketidakstabilan yang berlaku itu meletakkan kerajaan negeri pada keadaan sukar termasuk dalam usahanya untuk melaksanakan agenda lebih besar khususnya dari segi pemulihan pandemik dan ekonomi.

"Mengembalikan kestabilan dan dan kepastian ini adalah dua elemen yang sangat penting dalam soal politik kerana ia sebenarnya akan memberi impak yang begitu besar kepada kehidupan rakyat biasa.

"Kalau kita tidak ada kedua itu dalam politik negeri atau negara, banyak aspek kehidupan rakyat sebenarnya yang terkesan lebih-lebih lagi dengan (kerajaan yang hanya memiliki) mempunyai satu majoriti, banyak perkara yang kita tidak boleh nak lakukan,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca