SHAH ALAM - Hanya Majlis Syura Ulama (MSU) boleh membuat keputusan muktamad sama ada Pas mahu menjalinkan atau memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). Setiausaha Majlis Syura Ulama... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hanya Majlis Syura Ulama (MSU) boleh membuat keputusan muktamad sama ada Pas mahu menjalinkan atau memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perkara itu adalah selari dengan apa yang termaktub dalam Fasal 26 9(k) Perlembagaan Pas yang turut menyebut mengenai mana-mana kerjasama dengan pihak luar hendaklah selepas dipersetujui oleh MSU.

Justeru, Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata adalah tidak wajar juga mana-mana pihak dalam Pas termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat membuat kenyataan provokasi untuk menamatkan hubungan parti itu dan UMNO.

"Ini kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sendiri telah mengingatkan dalam kenyataan media selepas Muzakarah MSU pada akhir Disember iaitu MSU bersetuju untuk terus memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam di negara ini lebih-lebih lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Khairuddin berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin, dipetik sebagai berkata Pas hanya akan memutuskan hubungan politiknya bersama UMNO selepas melakukan beberapa pertimbangan serius apabila tercetus pengkhianatan sebilangan pemimpin UMNO termasuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

MOHD KHAIRUDDIN

Khairil Nizam juga menegaskan, kesabaran PAS berhubung tindakan UMNO dalam MN dan PN berdasarkan pertimbangan.

Sebelum ini, Khairuddin yang juga bekas AJK Pas Pusat mendedahkan beliau tidak pelik jika ada pemimpin tertentu dalam parti itu yang cuba membakar 'jambatan' penghubung kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi MN.

Ini kerana menurut Khairuddin, mendedahkan memang ada pihak tertentu yang kurang selesa dengan kerjasama dibentuk antara kedua parti itu sejak awal lagi.

"Ada yang kurang mesra MN sejak awal lagi. Kalau sekarang ada yang membakar jambatan tiada yang pelik, ramai yang sebegini daripada kedua belah pihak, namun ia tidak menghalang untuk kita terus memperjuangkan perpaduan umat.

"Sekiranya Pas dan UMNO gagal untuk bersatu pada platform politik berpilihan raya, kita masih bertanggungjawab menjaga muafakat umat untuk pelbagai lagi kepentingan bersama dari sudut agama, ekonomi, sosial dan pendidikan demi kebaikan rakyat," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin lalu.

Klik di sini untuk terus membaca