SHAH ALAM - Penjelasan mengenai kesan sampingan vaksin Covid-19 terhadap kanak-kanak perlu disampaikan secara berterusan agar golongan ibu bapa lebih terbuka untuk membenarkan anak-anak mereka terlibat dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
Pelakon Irma Hamie berkata, kebanyakan ibu bapa masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara mendapatkan maklumat sahih mengenai kesan sampingan vaksin berkenaan terhadap anak mereka.
"Kita (ibu bapa) tidak mahu anak-anak mengalami simptom seperti kumpulan pertama yang terima kesan vaksin, itu yang dirisaukan.
"Ibu bapa tidak mendapat keyakinan yang penuh kenapa kanak-kanak perlu divaksin dan kesan sampingan yang mungkin diperoleh. Adakah perkara itu akan memberi kesan teruk atau minimum sahaja, informasi itu yang tidak sampai kepada kita," katanya.
Irma berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi ke-323 bertajuk 'Takut booster atau takut Covid-19' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Wacana itu turut menampilkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin dan Pakar Jantung Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Akhbar Onn Akbar Ali manakala Khairil Amri bertindak sebagai moderator.
Dalam perkembangan sama, Irma turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang dibaca dari media sosial selain memastikan pendirian mereka berubah mengikut faktor yang sahih.
"Kita tidak boleh terima apa sahaja yang dibaca di media sosial kerana akan mempengaruhi pendirian terhadap program PICKids itu nanti.
"Pastikan pendirian kita disandarkan dengan ilmu dan maklumat sahih dari pakar. Jangan terpengaruh dengan 'doktor' di media sosial dan jangan ambil informasi yang salah. Sesuaikan dengan keadaan kita," jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca