MENURUT kajian, setiap isi rumah menggunakan minimum secara purata minyak masak sebanyak dua kilogram sebulan, manakala 45 peratus minyak yang tidak boleh digunakan akan dibuang begitu sahaja. Lazimnya apabila menggoreng, akan ada baki... Klik di sini untuk terus membaca

MENURUT kajian, setiap isi rumah menggunakan minimum secara purata minyak masak sebanyak dua kilogram sebulan, manakala 45 peratus minyak yang tidak boleh digunakan akan dibuang begitu sahaja.

Lazimnya apabila menggoreng, akan ada baki minyak terpakai dan sering dibuang selepas beberapa kali penggunaan.

Minyak masak melebihi tiga kali penggunaan boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan kerana toksin dipanggil 4-hydroxy-trans-2-nonenal (HNE) akan terhasil apabila minyak masak dipanaskan semula yang merupakan penyebab kanser dan penyakit berkaitan jantung serta salur darah.

Minyak masak terpakai juga menyebabkan perubahan pada struktur tulang yang menggalakkan osteoporosis dan mengakibatkan inflamasi pada hepar serta ginjal.

Sisa minyak masak terpakai bukan sahaja dihasilkan melalui aktiviti penyediaan makanan dan masakan, malah dalam pembersihan pinggan dan mangkuk daripada sisa makanan, khususnya di premis seperti restoran, sekolah dan kantin.

Air basuhan daripada pembersihan dapur dan pinggan mangkuk turut menyumbang kepada peningkatan kandungan lemak dan gris yang tinggi, seterusnya mengalir ke longkang berdekatan. Lebih malang, sisa minyak masak sering dibuang ke dalam saluran air, longkang dan parit selepas digunakan.

Membuang minyak masak terpakai ke tempat tidak sepatutnya perlu dielak kerana ia bersifat hidrofobik iaitu boleh mengumpulkan bahan pencemar sebelum mendap di dalam kolam takungan banjir dan memberi kesan kepada kualiti air serta rantaian makanan.

Justeru, pembuangan minyak masak ke dalam singki perlu dielak kerana ia boleh mengeras dan menyumbat paip, seterusnya merosakkan saluran paip dapur atau saluran pembetung tempatan.

Malah, ia turut menjadi punca sistem perparitan tersumbat dan kotor, selain menggalakkan pembiakan haiwan perosak seperti tikus serta lipas yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Paling membimbangkan, perbuatan tersebut boleh mengganggu tumbuhan dan hidupan akuatik kerana pelepasan minyak masak terpakai ke dalam perairan mengubah proses pengoksigenan dan memusnahkan kehidupan akuatik di laut disebabkan oleh lapisan minyak yang meliputi permukaan air dan menghalang oksigen larut.

Apabila hasil sampingan degradasi minyak bercampur dengan air, ia meningkatkan permintaan oksigen kimia (COD) dan mencemarkan air.

Sebenarnya, minyak masak terpakai boleh ditukar menjadi pendapatan sampingan daripada dibuang begitu sahaja. Jika anda menggunakan banyak minyak dan mahu menyokong usaha memulihara alam sekitar, bawalah ia ke pusat kitar semula tempatan yang menerima minyak masak terpakai.

Mungkin ramai tidak mengetahui, minyak masak terpakai boleh ditukar menjadi biodiesel dan digunakan untuk kenderaan berat seperti traktor serta bas. Biodiesel membantu mengurangkan gas karbon dikeluarkan oleh kenderaan, selain mengurangkan pelepasan sulfur yang mengakibatkan hujan asid.

Minyak masak juga boleh dibuat lilin, pencuci, sabun dan makanan haiwan. Namun, cabaran utama adalah sukar memperoleh minyak masak terpakai daripada gerai dan individu kerana mereka memilih untuk membuangnya, berbanding kitar semula.

Antara faktor membuatkan ramai tidak menyedari kelebihan minyak masak terpakai adalah kurangnya promosi dan pendedahan.

Bagi menjayakan usaha melestarikan alam, kempen edaran maklumat perlu diperluaskan di kawasan seperti kediaman, restoran, pasar malam dan dewan makan asrama sekolah.

Kaedahnya sangat mudah iaitu minyak masak terpakai dikumpulkan dalam bekas atau botol bersesuaian, dibawa ke pusat pengumpulan dan akhirnya setiap botol minyak yang dikumpulkan akan diberikan token bergantung kepada harga semasa.

Dengan adanya sistem pengumpulan minyak masak terpakai, ia mampu mengawal masalah pencemaran daripada aktiviti memasak dan penyediaan makanan di rumah serta premis berkaitan.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca