SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berpandangan, setiap nasihat atau teguran yang ingin diberikan kepada pemimpin Melayu pada hari ini dilihat sudah terlambat dan sia-sia.
Mohd Annuar yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak menyifatkan golongan itu sudah tidak berminat untuk menerima pandangan daripada sesiapa walaupun bekas guru mereka sendiri.
"Kepada pemimpin hari ini, sudah terlambat untuk dinasihatkan. Saya lihat termasuk kawan-kawan saya yang tidur sebantal, makan semeja, jalan satu kereta, apabila sudah diangkat jadi pemimpin termasuk bekas anak didik saya yang belajar hal-hal politik, cara menulis ucapan, apabila sudah mula diangkat ke jawatan, mereka sudah tidak lagi berminat untuk menerima nasihat.
"Kita yang terlupa bahawa kita sudah jadi imigran, seorang asing kepada mereka apabila kita hantar WhatsApp untuk nasihat. Cara mereka jawab dengan sombong dan bongkak, maknanya kita tidak penting lagi dalam hidup dia.
"Ini kerana 99 orang mengatakan dia sudah hebat, dan memujinya. Kita sahaja kata dia tidak hebat. Apabila mereka sudah sampai jadi pemimpin, sudah terlewat untuk kita nasihatkan mereka,” katanya dalam Program Bersama Johan Jaafar yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Rabu.
Mohd Annuar berkata, golongan yang memilih kumpulan pemimpin lebih mudah untuk dinasihati kerana mereka terbuka menerima teguran dan pandangan daripada orang berpengalaman.
"Saya lebih suka menasihati golongan yang akan memilih pemimpin kerana kita mengamalkan sistem demokrasi, kita ada hak untuk memilih pemimpin.
"Kepada golongan yang memilih pemimpin, kriteria asas memilih janganlah kerana dapat duit dalam ‘envolope’ atau dapat sehelai baju batik, sehelai kain pelikat, sehelai samping, sehelai telekung yang membuatkan faktor untuk memilih. Pilihlah orang yang kita sendiri boleh tahu,” ujarnya.
Dalam pada itu Mohd Annuar berkata, golongan muda mudah menerima perubahan berbanding mereka yang sudah lama membudayakan sesuatu perkara.
Sebagai contoh katanya, pekerja yang sudah mencecah umur 50 tahun dan ke atas dilihat lebih selesa dengan budaya kerja lama walaupun cara itu tidak releven seiring perubahan zaman.
"Saya nampak mereka cukup susah untuk menerima perubahan sebab dia sudah ada budaya kerja lama tetapi yang bersemangat minta nombor telefon apa semua, masih muda, baru keluar universiti dan bawah 40 tahun. Justeru mereka adalah harapan kita untuk menjadi tenaga penggerak,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca