[INFOGRAFIK] BILANGAN penganggur terus menurun pada Januari 2022 kepada 680,400 orang berbanding 687,600 orang pada Disember 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] BILANGAN penganggur terus menurun pada Januari 2022 kepada 680,400 orang berbanding 687,600 orang pada Disember 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022.

"Situasi ini telah mendorong perniagaan untuk terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan yang lebih panjang berikutan semua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk Kelantan dan Sarawak yang berkuatkuasa pada 3 Januari 2022.

"Berbanding bulan Januari tahun lalu, pasaran buruh berada dalam kedudukan yang mencabar dengan kebanyakan negeri berada pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan jumlah kes baharu Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Justeru, kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Januari 2022 berbanding Disember 2021, didorong oleh peningkatan guna tenaga yang berterusan manakala penganggur dalam trend menurun, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada kadar 4.2 peratus.

Dalam pada itu, Dr Mohd Uzir berkata, pertumbuhan positif bulan ke bulan bagi penduduk bekerja berterusan pada Januari 2022.

"Pada bulan tersebut, pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam penduduk bekerja berterusan pada Januari 2022 dengan 0.2 peratus, merekodkan 15.69 juta orang berbanding Disember 2021 iaitu seramai 15.65 juta orang.

"Sementara itu, bilangan penduduk bekerja kekal pada trend meningkat tahun ke tahun dengan mencatatkan 2.9 peratus atau 448,800 orang berbanding Januari 2021 iaitu seramai15.24 juta orang,” katanya.

Jelasnya, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan bulan ke bulan, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; serta maklumat dan komunikasi.

"Trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan dengan bilangan guna tenaga kekal meningkat.

"Guna tenaga dalam sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian pula berada dalam trend menurun sejak lapan belas bulan yang lalu,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca