SHAH ALAM – Orang ramai dan kerajaan seharusnya tidak melihat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di waktu sukar.
Penganalisis ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma menyifatkan pengeluaran KWSP itu hanya merupakan penyelesaian jangka pendek kepada orang ramai.
Disebabkan itu, beliau menggesa agar kerajaan mengadakan satu pembaharuan atau reformasi terhadap empat empat perkara iaitu jaringan keselamatan sosial, ekonomi, pasaran buruh dan struktur ekonomi baharu sebagai persediaan masa depan setiap orang di negara ini.
"Jaringan keselamatan sosial perlu ditambahkan. Jangan hanya bergantung kepada KWSP sahaja. Kalau boleh biarlah KWSP itu. Jangan biarkan rakyat yang mencarum terpaksa mengeluarkan KWSP mereka.
"Pertumbuhan ekonomi kena dipercepatkan. Bagi saya, tanggungjawab kerajaan ialah untuk memastikan ekonomi kita bertumbuh dalam jangka masa panjang dalam keadaan lestari.
"Kerajaan kena menggalakkan pelaburan. Sama ada pelaburan asing atau pelaburan dalaman dan sebagainya,” katanya pada program Wacana Sinar Edisi ke-331 bertajuk ‘KWSP: Gembira Hari Ini, Sengkek Kemudian’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian, pada Selasa.
Program ini turut menampilkan Pakar Ekonomi dari University College i CATS, Kuching, Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Sembilan, Amirhamzah Karim sebagai panel manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Selain itu, tambah Madeline, kerajaan seharusnya menyelesaikan pasaran buruh yang dihadapi pekerja di negara ini, khususnya dari segi pemberian upah atau gaji kepada mereka.
"Kita kena selesaikan isu upah yang mana pekerja kita masih lagi dibelenggu di mana mereka bekerja dengan seteruknya tetapi dari segi pulangan atau pendapatan ia masih boleh dipertingkatkan,” jelasnya.
Di samping itu katanya, negara ini juga perlu beralih kepada struktur ekonomi baharu dan tidak lagi bergantung kepada pasaran buruh semata-mata.
"Kalau boleh kita berganjak ke automasi. Tingkatkan produktiviti dan ini akan meningkatkan pendapatan rakyat kita,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca