SHAH ALAM - Peluang untuk Pakatan Harapan (PH) menang sekiranya Parlimen dibubarkan agak sukar tetapi tidak mustahil untuk menang kembali, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Ujar beliau, ia berikutan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen telah pun hancur dan usaha untuk membinanya semula itu bukannya satu perkara yang senang.
"Yang paling penting saya katakan tadi, demokrasi berparlimen di Malaysia ini mulakan tahun 1955 oleh zaman British.
"Disambung terus dalam pilihan raya sampai tahun 2018 dan di mana parti yang menang adalah PH dan yang kalah adalah Barisan Nasional (BN).
"(PH) Ambil balik pemerintahan tetapi hancur pada tahun 2020. Kehancuran ini nak membina semula keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen ini bukan satu perkara yang senang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Justeru itu, Ahli Parlimen Kota Raja itu menegaskan bahawa Akta Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan dengan segera supaya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat nanti akan dapat memegang amanah yang diberikan olehnya.
"Kalau dia nak lari, dia kena bertanding semula bukannya membawa kerusi sebegitu rupa. Sebab itulah, di samping masalah Covid-19 yang melanda negara kita dan kita tanya (rakyat) di antaranya di Melaka, Johor dan sebagainya.
"Mereka kata ‘Kami dah ubah pada 2018, kami dah ubah dah tukar kerajaan ini tetapi kamu lari’, istilah kamu itu ertinya PH,” ujarnya.
Menurut beliau, antaranya ialah kumpulan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kumpulan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang lari dan menyebabkan kerajaan PH tumbang.
"Jadi kita nak undian mereka semula untuk beri kepada kita, memang satu kerja yang amat sukar tetapi ia bukannya tidak mustahil dengan adanya Akta Anti Lompat Parti, saya yakin mereka akan kembali yakin semula,” jelasnya.