[INFOGRAFIK] KURMA merupakan buah ‘wajib ada’ di rumah penduduk Muslim negara ini setiap kali menjelang Ramadan.
Ia menjadi pilihan ramai kerana terdapat hadis yang menyebut agar disunnahkan berbuka dan bersahur dengan buah tersebut.
Justeru, tidak hairanlah kenapa amalan memakan buah tersebut ketika Ramadan begitu popular di negara ini.
Malah, ratusan juta telah dibelanjakan pada setiap tahun untuk mengimport buah tersebut bagi menampung keperluan penduduk di negara ini.
Dalam masa sama, Malaysia turut mengeksport kurma ke beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara.
Sebagai contoh, Syarikat Yusuf Taiyoob telah mengeksport 20 peratus daripada 5,000 tan kurma yang diimport ke Brunei, Thailand, Singapura dan Indonesia pada 2019.
Kurma yang berasal daripada pokok palma jenis phoenix merupakan tumbuhan tertua ditanam oleh manusia.
Ia merupakan makanan harian penduduk Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Afrika Timur seperti Mesir sejak ribuan tahun dahulu.
Kajian Robert Kruger dalam jurnal bertajuk, "Date palm genetic resource conservation, breeding, genetics and genomics in California” pada 2012 menjelaskan, kurma dipercayai berasal dari sebuah kawasan subur dikenali sebagai Hilal Subur yang terletak antara Mesir dan Mesopotamia.
Buah tersebut kemudiannya dibawa ke Asia, Sepanyol, Amerika dan Mexico oleh golongn pedagang yang merentasi dunia.
Hari ini, buah tersebut menjadi hasil eksport penting beberapa buah negara dunia, terutamanya negara Timur Tengah.
Kurma macam juga buah-buah lain yang mana setiap satunya mampu memberi manfaat besar kepada kesihatan manusia jika diamalkan secara berterusan.
Berdasarkan fakta di laman web Kementerian Kesihatan, antara khasiat kurma ialah mengembalikan tenaga dan mencergaskan badan dengan cepat.
Ini kerana buah tersebut mengandungi gula ringkas seperti fruktosa dan dekstrosa yang bertindak sebagai tenaga segera.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Nor Huda Faujan menasihatkan agar buah tersebut diambil dalam kadar yang sederhana supaya manfaat kesihatan diperoleh pada kadar optimum.
Klik di sini untuk terus membaca