SHAH ALAM - Semua pihak perlu mengukur kemampuan kewangan masing-masing dalam merancang perbelanjaan untuk sambutan hari raya supaya dapat mengelak daripada terjebak dengan hutang.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, dengan perancangan kewangan yang teliti ia mampu memastikan perbelanjaan yang dibuat itu mengikut keperluan, bukannya kehendak.
Beliau berkata, ekonomi ketika ini mula menunjukkan perkembangan selepas terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia kira-kira dua tahun lalu.
"Jadi, adalah wajar untuk semua pihak bersederhana dalam berbelanja dengan membuat perbelanjaan mengikut kemampuan kewangan yang ada pada diri masing-masing.
"Hari raya bukan hari di mana kita ingin menunjuk-nunjuk dengan pakaian baharu, perabot baharu dan sebagainya tapi lebih penting ia disambut dengan penuh kesyukuran.
"Justeru, perancangan kewangan adalah asas terpenting yang perlu diambil kira dalam perbelanjaan untuk sambutan hari raya, walaupun kita tahu ramai yang pasti ingin beraya ‘sakan’ selepas dua tahun tidak dapat beraya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, tidak salah untuk sesiapa beraya ‘sakan’, namun ia harus ada hadnya supaya tidak berlaku perbelanjaan yang melebihi kemampuan, sekali gus akan mendatangkan beban pada masa akan datang.
"Sebolehnya kita optimumkan segala benda sedia ada seperti penggunaan baju raya atau langsir, servis kenderaan agar perjalanan sempurna tanpa perlu menghias kereta berlebihan.
"Selain itu, nilai pemberian wang untuk sanak-saudara juga perlu diminimumkan kerana kita baharu sahaja masuk ke peralihan fasa endemik dan memerlukan persediaan luar jangka atau lebih tepat lagi sediakan payung sebelum hujan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca