[INFOGRAFIK] MEMBAYAR yuran untuk memasuki pertandingan merupakan satu hal biasa bagi seseorang peserta.
Namun, membayarnya dalam jumlah yang tinggi merupakan sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku dalam kebanyakan pertandingan.
Hakikatnya, itulah harga yang perlu dibayar oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyertai Pemilihan 2022 parti itu yang dijangka berlangsung pada 22 hingga 29 April ini.
Berdasarkan manual Pemilihan PKR 2022 yang disediakan oleh Jawatankuasa pemilihan Parti (JPP), ahli yang ingin mengambil bahagian perlu membayar antara RM3,000 hingga RM20,000 bagi merebut jawatan dipertandingkan di peringkat pimpinan pusat.
Pembayaran yuran itu bagaimanapun bukan lagi baharu bagi ahli PKR kerana pendekatan tersebut telah diperkenalkan sejak 2018 bagi tujuan menampung kos pemilihan parti itu.
Perkara tersebut telah dijelaskan oleh bekas Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail pada 2018 selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan bersama gabungan Pakaran Harapan.
Sementara itu, Pemilihan PKR 2022 yang akan berlangsung tidak lama lagi nampaknya semakin sengit.
Ramai ahlinya dilihat menawarkan diri untuk mengisi posisi penting dalam parti berkenaan bagi tempoh tiga tahun.
Setakat ini, seramai 20 ahli telah menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
17 daripadanya bersaing untuk merebut jawatan naib presiden manakala dua lagi beradu untuk merebut jawatan timbalan presiden.
Bagi jawatan presiden pula, tiada ahli yang menawarkan diri untuk bertanding setakat ini selain Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, seramai 19 ahli wanita itu telah menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP).
Bagi jawatan peringkat Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) pula, seramai 10 belia bersaing untuk merebut jawatan dipertandingkan.
Dalam pada itu, JPP menjangkakan parti itu akan menerima lebih 10,000 pendaftaran calon di 222 cabang di seluruh negara.
Senarai calon yang sah bertanding hanya akan dikeluarkan oleh JPP pada 19 April ini.
Klik di sini untuk terus membaca