SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera meminda Akta Pusat Jagaan 1993 yang dilihat lompong kerana tiada syarat wajib untuk pusat jagaan mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi berkata, lesen untuk pusat jagaan juga mestilah diberikan fokus yang penting dan mendalam dengan mengadakan prosedur ketat untuk sebarang kelulusan penubuhan pusat jagaan.
Menurutnya, ia bagi memastikan kejadian menyayat hati sebagaimana yang menimpa Bella, remaja sindrom Down berusia 13 tahun itu berulang.
"Kejadian yang menimpa adik Bella ini membuka mata kita untuk menjadi lebih bertanggungjawab kerana daripada suara-suara kita, orang akan lebih faham mengenai pusat jagaan.
"Disebabkan itu, kita mesti memastikan pusat jagaan seperti ini berdaftar dengan JKM dan mereka mestilah bertindak membela dan menjaga kebajikan kelompok dan kumpulan sasar.
"Sebelum ini saya telah menyuarakan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminda Akta Pusat Jagaan 1993 dan menjadikan pendaftarannya dengan JKM sebagai wajib dan mengenakan hukuman yang setimpal jika kebajikan penghuni pusat jagaan terabai,” katanya pada program Wacana Sinar Edisi ke-338 bertajuk 'Nasib Adik Bella, OKU Siapa Harus Bela' pada Jumaat.
Program itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Co-Founder SCRUT dan aktivis #JusticeForBella, Aliff Ahmad dan pensyarah yang juga aktivis #JusticeForBella, Muhamad Firdaus Ibnil Hajar.
Dalam perkembangan sama, Ras Adiba mengharapkan kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas bagi menjaga orang kurang upaya (OKU) di negara ini.
Jelasnya, penubuhan suruhanjaya itu adalah mustahak dalam memberikan hukuman yang setimpal terhadap sesiapa yang melakukan perlanggaran hak terhadap OKU.
"Selain itu, saya berharap KPWKM segera membuat pindaan terhadap Akta OKU 2008 kerana jika lambat dilaksanakan, ia akan membuka jalan untuk orang terus melakukan diskriminasi, penderaan dan menyalahgunakan OKU.
"Majlis Kebangsaan bagi OKU juga mesti diberikan mandat yang lebih serius dan mendalam untuk membangun dan memperkasakan komuniti OKU, bukannya bertindak sebagai majlis mesyuarat sahaja,” ujar beliau.