SHAH ALAM - Platform beli-belah dalam talian, Shopee akan menghentikan penjualan basikal lajak yang mendatangkan bahaya kepada pengguna terutama dalam kalangan kanak-kanak. Jurucakap Shopee berkata, pihaknya tidak membenarkan penjualan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Platform beli-belah dalam talian, Shopee akan menghentikan penjualan basikal lajak yang mendatangkan bahaya kepada pengguna terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Jurucakap Shopee berkata, pihaknya tidak membenarkan penjualan produk yang berbahaya kepada kesihatan dan keselamatan para pengguna di platformnya.

Justeru, katanya, sebagai pematuhan kepada peraturan tempatan dan dasar yang ketat, pihaknya akan membuang semua penyenaraian basikal lajak di platform beli-belah itu.

"Penjualan basikal lajak di platform Shopee telah dibawa ke perhatian kami.

"Shopee tidak membenarkan penjualan produk yang berbahaya kepada kesihatan dan keselamatan pengguna di platform kami,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah jurucakap Shopee lagi, tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap penjual yang menyalahi undang-undang atau tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, dia turut menggalakkan pengguna supaya menghubungi Shopee jika menemui penyenaraian yang serupa di platform mereka.

"Pengguna boleh menghubungi kami melalui bulatan menu di sudut kanan atas mana-mana penyenaraian produk dan klik pada pilihan ‘laporkan produk ini’.

"Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menghubungi kami di help@support.shopee.com.my atau hubungi 03- 2777 9222 setiap Isnin hingga Ahad,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca