SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah dilihat hampir mustahil untuk dilaksanakan kerana kaedahnya yang agak kompleks dan rumit.
Penganalisis ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, subsidi bersasar juga akan memakan kos yang amat tinggi serta pulangan atau faedah yang agak kabur.
Justeru, beliau melihat pelaksanaannya agak rumit dan penuh komplikasi yang menyebabkan ia hampir mustahil untuk dilaksanakan.
"Perbincangan mengenai subsidi bersasar ini seolah sudah menjadi trend bermusim dan sering diutarakan apabila berlaku peningkatan harga minyak mentah dunia dan akan kembali ‘sejuk’ apabila harga kembali stabil.
"Apabila kita menyebut subsidi bersasar, ia agak kompleks dan rumit serta memakan kos yang amat tinggi serta pulangan atau faedahnya yang agak kabur.
"Kekangan paling mudah adalah jika kita dapat melakukannya kepada kenderaan berplat asing, ini yang paling mudah dan kos efisien.
Apabila kita ingin melakukan subsidi bersasar, adakah ia berdasarkan pendapatan atau jenis kenderaan?” soalnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Selasa berkata, kerajaan berkemungkinan besar akan memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar bagi menampung impak kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, kerajaan masih dalam peringkat merangka struktur bersesuaian yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.
Kementerian Kewangan juga katanya, dalam peringkat meneliti sama ada kerajaan mampu menanggung subsidi manakala harga bagi petrol RON95 dan diesel dapat dikekalkan pada masa ini.
Menjelaskan situasi semasa, Baharom berkata, mungkin ada ketika mereka dalam kategori B40 tetapi mempunyai keluarga yang besar menyebabkan mereka memiliki kenderaan berkapasiti besar, namun mungkin membeli kereta terpakai.
"Ada juga golongan T20 yang memiliki kereta berkapasiti rendah.
Mereka yang memiliki kenderaan berkapasiti besar atau kita kata golongan T20 yang memiliki kereta mewah, sudah pun dicukai tambahan, di dalam bentuk cukai jalan yang tinggi.
"Sebab itu saya katakan, pelaksanaannya agak rumit dan penuh komplikasi, yang mana ia hampir mustahil untuk dilaksanakan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca