SHAH ALAM - Persepsi bahawa perkhidmatan awam didominasi kaum Melayu dan menyukarkan golongan tersebut untuk mendapat kenaikan pangkat antara faktor kaum lain tidak berminat bekerja dalam sektor kerajaan.
Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, anggapan itu tidak tepat dan ia perlu diperbetulkan semula.
Ini kerana katanya yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, perkhidmatan awam sememangnya memerlukan kepakaran semua kaum untuk menyumbang kepada pentadbiran negara yang lebih baik dan efisien.
"Ini persepsi, hakikatnya tidak, apabila masuk mereka sepatutnya layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, untuk dapat kemudahan-kemudahan sama seperti pegawai-pegawai lain tetapi persepsi itu mungkin yang membuatkan mereka kurang berminat.
"Bagi mereka, masuk sektor swasta tidak menjadi satu masalah besar, kebanyakkan mereka pandai berbahasa Inggeris dan kepakaran atau kelayakan dalam bidang-bidang yang ada nilai di luar sana.
"Saya dapat lihat perkembangan ini, saya rasa kita perlu perbetulkan, kita perlu mendapat juga kepakaran dan juga sokongan daripada pegawai-pegawai bukan bumiputera. Mereka juga banyak yang pandai-pandai dan dapat membantu atau menyumbang kepada pentadbiran yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program yang berlangsung kira-kira setengah jam itu dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Klik di sini untuk terus membaca