DARIPADA sejumlah usaha yang boleh digarap untuk pendidikan partisipasi politik belia, pendekatan terbaik adalah menghakupaya belia untuk ‘berkerajaan-sendiri’ (self-government). Ia bermula dengan pelajar/belia mengundi pemimpinnya... Klik di sini untuk terus membaca

DARIPADA sejumlah usaha yang boleh digarap untuk pendidikan partisipasi politik belia, pendekatan terbaik adalah menghakupaya belia untuk ‘berkerajaan-sendiri’ (self-government). Ia bermula dengan pelajar/belia mengundi pemimpinnya dalam pelbagai institusi/peringkat yang berkaitan dengannya.

Ia diikuti dengan perwakilan pelajar/belia (yang dipilih itu) menjadi rakan-kepimpinan bersama-sama barisan kepimpinan utama pelbagai institusi/peringkat tersebut iaitu keterlibatan dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Ini bukan soal mewujudkan ‘Parlimen olok-olok’. Ini soal berkerajaan-sendiri yang benar-benar dipraktiskan.

Berkerajaan-sendiri boleh dilaksanakan dalam beberapa kategori. Pertama, pelajar mengamalkan kerajaan-sendiri sesama mereka.

Kedua, pelajar mengamalkan kerajaan-bersama atau rakan-kepimpinan dengan pentadbiran sekolah/IPT dan ketiga, pelajar/belia mengamalkan kerajaan-bersama dengan pihak berkuasa tertentu dalam masyarakat di luar institusi/organisasinya.

Sekiranya pelajar/belia kurang dididik dengan benar-benar mengundi, mengurus sendiri organisasi, menjadi rakan-kepimpinan bersama-sama kepimpinan utama yang berkaitan dan menikmati kebaikan-kebaikan demokrasi, sejak muda, maka adalah tidak menghairankan apabila akhirnya mereka kurang berminat dengan pilihan raya umum, politik dan demokrasi.

Justeru, walaupun faktor-faktor menyebabkan kurang berminat itu pelbagai, namun, jawapannya yang terbaik adalah menghakupayakan mereka mengamalkan dengan sebenar-benarnya, demokrasi sejak muda.

Kerajaan-Sendiri dalam Institusi

Di sekolah/IPT, antara perkara yang wajar disertai pelajar ialah:

- Menubuhkan Kesatuan/Majlis Perwakilan Pelajar dan pelbagai Persatuan/Kelab serta Jawatankuasa Pilihan Raya Pimpinannya.

- Mengurus sendiri pilihan raya-pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar, Pengawas, Pengawas Perpustakaan, Pemimpin Rumah-rumah Sukan, Persatuan-persatuan, Lembaga Pengarah Koperasi Sekolah dan Jawatankuasa-jawatankuasa Asrama, Kantin, Surau, dll.

- Mengurus sendiri semua Kesatuan, Majlis, Persatuan/Kelab Pelajar.

- Mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan

Kerajaan Bersama dalam Institusi

Di sekolah, antara perwakilan pelajar yang perlu diwujudkan ialah:

- Wakil pelajar sebagai anggota Lembaga Pengelola/Penasihat Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Alumni dan jawatankuasa-jawatankuasa akademik, peperiksaan, penilaian prestasi guru, pembangunan fizikal dan hal ehwal pelajar.

- Wakil pelajar sebagai anggota jawatankuasa-jawatankuasa pemilihan pasukan-pasukan (sukan, debat dll) mewakili sekolah.

Di IPT, Wakil Pelajar sebagai anggota dalam jawatankuasa-jawatankuasa, contohnya, Lembaga Pengurusan Universiti, Senat, Kebajikan Pelajar, Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti, Jabatan, Kolej Kediaman dll.

Rakan-Kepimpinan dalam Berkerajaan di Luar Institusi

Bagi gerakan belia, perwakilannya perlu diwujudkan dalam semua bidang dan di setiap peringkat. Contohnya, Dewan Negara, Majlis Kerajaan Tempatan, jawatankuasa-jawatankuasa kerajaan negeri, pentadbiran daerah, dewan-dewan perniagaan, CSO, taman perumahan, masjid dan rumah-rumah ibadat dan lain-lain.

Kesimpulannya, keinginan melihat partisipasi politik belia yang aktif dan penuh memerlukan pendekatan yang radikal termasuklah dengan mengupaya belia berkerajaan-sendiri.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca