SHAH ALAM - Fenomena lambakan parti baharu di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka hanya menjadi penyumbang kepada keserabutan pilihan 21.1 juta pengundi berdaftar bagi membentuk sebuah kerajaan baharu selepas PRU15.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Fenomena lambakan parti baharu di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka hanya menjadi penyumbang kepada keserabutan pilihan 21.1 juta pengundi berdaftar bagi membentuk sebuah kerajaan baharu selepas PRU15.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, pandangan itu dikemukakan berasaskan dua aspek penting iaitu sejauh mana usaha parti-parti itu untuk mempromosikan perjuangan mereka selain penerimaan pengundi terhadap kewujudan entiti-entiti politik berkenaan.

Jelas beliau, jika merujuk kepada aspek usaha, majoriti parti-parti baharu ini dilihat tidak berusaha melaksanakan strategi pemasaran politik berkesan, sama ada terhadap segmen pengundi muda atau sebagainya sehingga kini.

Kehadiran parti-parti baharu di Malaysia selepas PRU14 kini ibarat lambakan cendawan yang tumbuh selepas hujan. (Gambar kecil: Hisommudin)

"Saya menganggap parti-parti ini tidak ke hadapan dalam mempromosi jenama dan ideologi parti ke dalam minda pengundi dan perkara itu yang saya lihat menyebabkan keterlibatan sebilangan parti-parti baharu dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) terdahulu di Melaka dan Johor, tidak memberikan sebarang impak signifikan.

"Tidak dinafikan ada parti baharu seperti Ikatan Demokrasi Muda (Muda) yang memberi sedikit impak pada PRN Johor, namun secara keseluruhannya sentuhan parti-parti baharu ini kurang dirasai pengundi, malah ada mengatakan kewujudan mereka sekadar penyumbang kepada keserabutan pilihan demokrasi," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kehadiran lambakan parti politik baharu selepas PRU14 memberikan sebarang impak signifikan dalam mengubah landskap politik negara ke arah amalan demokrasi lebih subur.

Mengulas lanjut, Hisommudin mendedahkan keputusan PRN Johor yang dianggap ujian kertas litmus terbaik sebelum menghadapi PRU15 turut membuktikan kekhuatiran beliau bahawa kewujudan lambakan parti politik baharu akhirnya dinisbahkan sama seperti penyertaan calon bebas adalah berasas.

Dengan objektif dan tujuan penyertaan parti-parti politik baharu ini untuk menyertai pilihan raya adalah tidak jelas, beliau berpendapat tawaran politik dikemukakan mereka tidak jauh beza dengan tawaran politik calon bebas.

"Selagi mana parti-parti baharu ini bergerak bersendirian pada PRU15, nilai politik mereka tidak jauh beza daripada calon bebas kerana lebih berperanan sebagai pemecah undi parti dominan semata-mata.

"Saya melihat kewujudan mereka ini sekadar cubaan pemimpin-pemimpin politik tertentu yang tidak lagi diberikan ruang berpolitik melalui parti asal sebelum ini, memposisikan keterlibatan mereka dalam politik negara.

"Kebanyakan kelompok ini gagal berada dalam barisan kepimpinan utama parti asal masing-masing yang dianggap dominan, tetap masih ingin berpartisipasi susulan sudah selesa memegang jawatan, kedudukan penting dalam kerajaan atau percaya diri sendiri masih popular.

"Bagi kelompok ini, soal menang kalah bukanlah asbab utama mereka tubuhkan parti politik baharu. Namun mereka didorong oleh sikap 'tidak berpijak di bumi nyata' selain terlalu yakin diri masing-masing masih popular di mata rakyat," ujar Hisommudin lagi.

Lambakan parti politik baharu dibimbangi akan menyukarkan usaha rakyat memilih sebuah kerajaan yang kukuh dan utuh selepas PRU15, meskipun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka menyatakan sebaliknya.

KAJI PASARAN

Hisommudin turut menegaskan majoriti parti-parti baharu didaftarkan ini tidak mencapai keputusan memberangsangkan dalam beberapa PRN sebelum ini disebabkan kelompok ini kebiasaannya tidak melakukan kajian pasaran terhadap kemampuan parti masing-masing.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kesungguhan sebilangan parti-parti baharu seperti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muda yang lebih agresif memanfaatkan segenap ruang di media sosial dan arus perdana untuk memasarkan jenama politik mereka sedikit sebanyak menarik perhatian rakyat.

Selain itu, beliau kagum dengan kematangan Muda memilih strategi politik tepat dengan mengadakan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor berbanding bertanding secara bersendirian sebagaimana dilakukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan (Warisan).

"Kesannya, kita dapat lihat Muda berjaya memenangi satu daripada tujuh kerusi ditandingi, walaupun parti itu gagal memenuhi jangkaan menjadi alternatif pengundi atas 18 tahun serta atas pagar sebagaimana digembar-gemburkan.

"Selain itu, kewujudan koalisi baharu dipanggil Perikatan Nasional (PN) juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mengambil alih kedudukan PH selaku parti kedua di belakang UMNO-BN pada PRN Melaka dan Johor, meskipun koalisi itu dianggotai parti-parti dominan.

"Bagaimanapun, saya masih melihat kehadiran mereka hanya sekadar membawa kepada keserabutan politik tanah air serta menggagalkan usaha negara mewujudkan sistem dua parti sebagaimana diamalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat," luahnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca