KUALA LUMPUR - Penjenayah bersindiket dikesan berselindung di sebalik perniagaan yang halal termasuklah melakukan aktiviti kebajikan sebagai taktik untuk ‘cuci duit’ daripada hasil kegiatan haram. Ketua Penolong Pengarah Siasatan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Penjenayah bersindiket dikesan berselindung di sebalik perniagaan yang halal termasuklah melakukan aktiviti kebajikan sebagai taktik untuk ‘cuci duit’ daripada hasil kegiatan haram.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, ada tiga proses bagi penjenayah ini mengubah wang haram menjadi ‘halal’ iaitu menerusi penempatan (placement), pelapisan (layering) dan integrasi (integration).

Menurutnya, proses itu melibatkan penukaran wang tunai atau harta yang diperoleh daripada aktiviti jenayah bagi mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengesan sumber asal kegiatan terbabit.

"Bagi tahap pertama iaitu penempatan, wang yang diperoleh daripada hasil aktiviti haram akan dilaburkan menerusi sistem kewangan yang sah atau disimpan secara tunai di dalam rumah atau premis.

"Penjenayah akan memasukkan wang tunai dalam jumlah yang kecil ke dalam beberapa akaun bank berlainan.

"Peringkat kedua ialah pelapisan iaitu proses pusingan pelbagai tingkat untuk memisahkan atau menjauhkan wang berkenaan daripada sumber asalnya.

"Pada peringkat ini penjenayah akan mengeluarkan wang simpanan mereka secara berulang kali melalui pelbagai bank yang berbeza,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Fazlisyam menambah, peringkat akhir iaitu integrasi pula ialah proses penyerapan ke dalam sistem kewangan dan ekonomi yang sah seperti membeli aset seperti rumah atau kenderaan.

Beliau memberi contoh, suspek memperoleh sejumlah wang bernilai RM500,000 daripada sumber kegiatan haram dan kemudian disembunyikan menerusi proses pelapisan iaitu pengagihan wang ke dalam akaun proksi termasuklah mendepositkan ke akaun bank kenalan, ahli keluarga selain membeli kenderaan.

Fazlisyam Abd Majid

"Seterusnya, proses integrasi berperanan di mana duit yang dipecahkan tadi masuk ke dalam ekonomi untuk dilihat sebagai wang sah di mana duit tunai diserah kepada individu lain sebelum duit itu dimasukkan semula ke akaun suspek.

"Ada yang menggunakan alasan kononnya membayar hutang dan sebagainya, walhal duit itu asalnya adalah sumber tidak sah,” ujarnya.

Jelas beliau, ia merupakan modus operandi yang digunakan penjenayah untuk menyorokkan kegiatan haram dengan menggunakan perkhidmatan dan perniagaan halal termasuklah aktiviti kebajikan.

DIPANTAU AMLA

Menurut Fazlisyam, sehingga kini terdapat 424 jenis kesalahan berat disenaraikan dalam Jadual Kedua AMLA daripada 51 akta berkaitan.

Katanya, siasatan AMLA dibuat bagi kes-kes jenayah yang disenaraikan sebagai kesalahan berat dalam Jadual Kedua seperti perjudian, penyeludupan, pelacuran, culik, kongsi gelap, penipuan atau scam, rompakan dan jenayah bersindiket lain.

"AMLA akan memulakan siasatan apabila mendapati wujud elemen pengubahan wang haram dalam kes yang disiasat.

"Setiap hari Bahagian AMLA akan mengkaji dan memantau kes yang berlaku di seluruh negara tidak kira dibuka di bawah jenayah, komersial atau cawangan khas.

"Kita akan pastikan kes yang diambil memberi satu impak kepada masyarakat dan secara tidak langsung melenyapkan motivasi kepada pelaku jenayah,” kata Fazlisyam.

Tambah beliau lagi, apabila AMLA mengambil tindakan kepada jenayah terbabit, ia dapat memberi kesan besar termasuklah melumpuhkan sumber kewangan mereka.

Kata beliau, dari segi prosedur siasatan, individu yang disyaki terlibat akan dipanggil untuk proses merekod keterangan dan tujuan mengumpul bukti.

"Akta yang termaktub memperuntukkan kuasa untuk melakukan tangkapan dan rampasan.

"AMLA memperuntukkan kuasa untuk mengambil tindakan ke atas harta yang disyaki terlibat termasuk kuasa membeku harta dan termaktub di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mana pegawai penyiasat kes ada kuasa untuk melaksanakan tindakan itu selama 90 hari.

"Selepas itu, kalau ada keterangan lanjut menunjukkan setiap harta tersebut ada kaitan dengan pengubahan wang haram, timbalan pendakwa raya (TPR) serta pegawai penyiasat kanan kes ada kuasa untuk membuat sitaan harta dengan lanjutan selama 12 bulan dan tempoh ini tidak semestinya perlu menanti tempoh 90 hari pembekuan aset,” ujarnya lagi.

Menurut Fazlisyam, TPR ada kuasa menyita akaun bank dan harta tidak alih seperti hartanah dan rumah tetapi bagi harta alih seperti kenderaan dan barang kemas adalah kuasa pegawai penyiasat kanan.

"Tindakan akhir adalah sama ada tuduh dan bicara, lucut hak secara sivil atau tiada tindakan lanjut,” jelasnya.

LEBIH 100 JUTA DILUCUT HAK

Senior Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, statistik sejak tahun 2020 hingga Mei lalu merekodkan lebih RM147 juta berjaya dilucut hak dan ia tidak termasuk nilai bagi mata wang asing serta unit saham.

"Tindakan ini hasil 406 kertas siasatan yang dibuka dengan pelbagai aset membabitkan jumlah lebih RM850 juta dibeku dan RM956 juta disita,” katanya.

Jelas beliau, pengubahan wang haram bukan bermaksud hanya sekadar melakukan jenayah dan menikmati hasil haram tetapi juga membantu mengubah, memindah, menyembunyikan dan mengubah rupa bentuk.

Justeru, katanya, AMLA tidak mahu penjenayah sewenang-wenangnya menikmati aktiviti haram yang dilakukan.

"AMLA Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi lain untuk memastikan pematuhan semua pihak yang termaktub dalam akta ini.

"Dalam memastikan tindakan yang dilakukan sentiasa di landasan terbaik, negara kita tertakluk dengan kehendak dunia di mana usaha memerangi jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dipantau Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Kumpulan Asia Pasifik (APG).

"Di peringkat domestik, tindakan memerangi jenayah ini juga diselaras oleh beberapa agensi lain seperti BNM, Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) dan beberapa sekretariat yang dianggotai semua pihak berkuasa terlibat,” jelas Fazlisyam.

Klik di sini untuk terus membaca