KUALA LUMPUR - Kegiatan pelacuran kini semakin rancak menggunakan platform aplikasi media sosial WhatsApp, Telegram dan WeChat untuk pelanggan membuat tempahan atau sistem booking.
Difahamkan, ejen sindiket yang menjadi ‘bapa ayam’, ‘ibu ayam’ atau runner akan memainkan peranan bagi menetapkan dan menghantar wanita pilihan ke lokasi tertentu kepada pelanggan.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, berdasarkan pemerhatian dan risikan pihaknya mendapati kegiatan tidak bermoral membabitkan wanita warga asing di ibu kota kembali rancak dalam tempoh peralihan fasa endemik ketika ini.
Jelasnya, pihak Imigresen Kuala Lumpur turut mengesan taktik pengusaha pusat hiburan yang berselindung di sebalik perniagaan restoran sambil menyajikan layanan wanita warga asing.
"Terdapat tawaran bagi aktiviti tidak bermoral ini serendah RM30 dikesan dijalankan di ibu negara.
"Malah ada bayaran sehingga ribuan ringgit bergantung kepada layanan, warganegara dan ‘gred’ wanita asing terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Syamsul Badrin berkata, pelanggan yang berminat dengan wanita-wanita itu akan menempah menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp atau WeChat sebelum dihantar ke hotel tertentu sama ada kelas tinggi atau rendah berdasarkan temu janji atau booking yang dibuat.
"Begitu juga wanita asing yang menjalankan khidmat urut, sistem booking juga digunakan bagi menyukarkan tindakan pihak berkuasa,” ujarnya.
Menurutnya, sistem booking turut digunakan kepada pelanggan tertentu sahaja untuk memasuki pusat hiburan bagi mengurangkan risiko diserbu pihak berkuasa.
"Sekarang kalau nak masuk ke pusat hiburan juga kena melalui sistem booking, malah ada sesetengah premis memilih segelintir kaum sahaja sebagai pelanggan mereka.
"Pengusaha premis kemudian akan membawa wanita terbabit dan menunggu di lokasi tertentu sebelum dibenarkan masuk premis apabila diarahkan sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya tiada permintaan untuk khidmat wanita tersebut, kelibat mereka tidak akan kelihatan di dalam premis.
Jelas beliau, bagi memastikan gerak-geri ‘penghantaran’ pelacur warga asing sentiasa selamat, pihak sindiket turut mengupah individu tertentu yang berperanan sebagai tonto.
"Tonto ini akan menyamar seperti orang biasa atau penjaga premis.
Sekiranya ada pergerakan pihak berkuasa, tonto ini akan segera memaklumkan pergerakan dan mengakibatkan sesuatu serbuan di premis yang telah dikenal pasti gagal,” kata beliau.
409 wanita asing dicekup sejak 2020
Menurut Syamsul Badrin, seramai 409 wanita warga asing berusia lingkungan 19 hingga 45 tahun ditahan menerusi Op Gegar di pusat hiburan dan rumah urut di sekitar ibu negara bermula Januari 2020 sehingga April lalu.
Ujarnya, daripada jumlah itu wanita Thailand paling ramai ditahan seramai 233 orang, diikuti Vietnam (137), China (10), Myanmar (10), Korea Selatan (enam), Indonesia (lima), Filipina (tiga), Kemboja (tiga) dan Laos (dua).
"Ada di antara mereka masuk ke Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial atau pas pelajar. Ada juga yang diuruskan oleh sindiket.
"Malah, pihak kami turut mendapati terdapat wanita asing ini yang berkahwin dengan warga tempatan, namun bekerja dalam kegiatan yang tidak bermoral ini,” katanya.
Mengulas berkenaan jumlah yang ramai melibatkan wanita Thailand, beliau berkata, ia disebabkan faktor negara terbabit yang terletak berhampiran dengan Malaysia.
"Kos pergerakan melalui jalan darat mungkin lebih murah dan mudah berbanding kos dari negara lain yang lebih jauh yang terpaksa menggunakan laluan udara,” katanya.
Kerjasama bersama agensi lain
Tegas Syamsul Badrin, pihak imigresen memberi amaran keras kepada individu atau sindiket yang terlibat dalam menawarkan kegiatan tidak bermoral.
"Kerjasama dan penguatkuasaan berterusan antara imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi penguat kuasa berkaitan akan terus dijalankan untuk membanteras kegiatan tidak moral ini daripada terus menular khususnya di ibu kota.
"Pada masa sama, kesedaran orang awam terhadap masalah gejala sosial terbabit merupakan kunci dalam usaha membanteras kegiatan tidak bermoral berkenaan sepenuhnya,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang awam perlu diberikan kesedaran tentang akibat dan risiko apabila menggunakan khidmat pelacuran warga asing terutama dari segi penyebaran penyakit berjangkit serta masalah sosial lain.
"Operasi telah banyak dijalankan, namun untuk memastikan Kuala Lumpur ini bersih daripada kegiatan tidak bermoral, kita akan memperbanyakkan lagi risikan serta tindakan bersama agensi penguat kuasa lain,” kata beliau.
Statistik Op Gegar di KL
Jumlah tangkapan wanita warga asing mengikut tahun
2020 - 301 orang
2021 - 60 orang
2022 - 48 orang
Pecahan mengikut kewarganegaraan
Thailand - 233 orang
Vietnam - 137 orang
China - 10 orang
Myanmar - 10 orang
Korea Selatan - 6 orang
Indonesia - 5 orang
Filipina - 3 orang
Kemboja - 3 orang
Laos - 2 orang
Klik di sini untuk terus membaca