SHAH ALAM - Islam di Malaysia boleh menjadi dinamik sekiranya pemimpin di negara ini bersifat terbuka dalam memberi ruang kepada rakyat menerusi proses syura, ijmak dan ijtihad dalam menyelesaikan sesuatu isu berkaitan agama.
Pengarah Human Capient, Dr Rozhan Othman berkata, tiga perkara ini jika dipraktikkan boleh berkembang menjadi satu perkara yang akan menyebabkan berlaku anjakan terhadap cara seseorang melihat agenda Islam itu dibawa.
Menurutnya, syura, ijmak, ijtihad merupakan proses pembabitan masyarakat dalam menentukan bagaimana mentafsirkan Islam khususnya dalam menghadapi masalah-masalah yang kotemporari dan cabaran semasa yang belum lagi dibincang dalam kitab-kitab fekah.
"Saya melihat bahawa ini merupakan satu persepektif yang baru tak semua golongan Islamis setuju dengan pandangan ini, ini satu perspektif yang perlu diterima kerana Islam ini diturunkan oleh ALLAH dan pemiliknya adalah kita semua,” katanya ketika menjadi panelis dalam Forum Khas bertajuk 'Islam di Malaysia, mahu ke mana?’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa
Turut menjadi panelis, pensyarah Pusat Polisi Tan Sri Omar Abdul Rahman, Universiti UCSI, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan Fellow Utama Pusat Kajian, Institut Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff serta dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator.
Beliau turut mengambil contoh penulisan Rashid al-Ghannushi tentang politikal Islam, bagaimana ia dizahirkan kerana ada yang mengambil pendirian sistem demokrasi tidak Islamik.
"Ghannushi bukanlah pandangan dia seorang, tetapi turut disokong oleh Rashid Rida, Syeikh Muhammad Abduh serta Malik bin Nabi yang mengatakan bahawa kita tidak boleh lihat demokrasi itu sebagai falsafah tetapi perlu lihat ia sebagai alat.
Rozhan berkata, demokrasi adalah alat untuk menzahir dan mempraktikan empat prinsip dalam Islam iaitu syura, ijmak, ijtihad dan khilafah.
"Kita sama-sama membentuk ada hukum hakam yang dah jelas tapi adalah masalah semasa yang turut diwarnai oleh keadaan setempat yang memerlukan ijtihad. Apabila tidak ada ijtihad, itulah yang menjadikan kita jumud.
"Kita suka lihat benda-benda yang kecil, kalau makanan tu dah ada sijil halal pun nak pergi cari lagi di mana haramnya, perkara seperti ini banyak berlaku,” katanya
Menurutnya, sebab itulah apabila kita ingin membina kebersamaan dalam masyarakat majmuk ia menjadi sukar sebab kita akan mencari perkara yang membuatkan kita lebih terpisah.
"Kalau kita kata Islam itu sebagai satu penyelesaian tetapi di sudut lain orang melihat Islam ini lebih membawa kepada masalah.
"Contoh isu Bon Odori, saya melihat pembentukan pemikiran masyarakat Malaysia ini ada tiga tiang utama, pertama adalah parti politik, sama ada UMNO, Pas dan yang lain-lain, ada agenda Islam tersendiri.
Tambahnya lagi, keduanya adalah badan bukan kerajaan (NGO) dan individu pendakwah bebas, turut memainkan peranan.
"Ketiga adalah instrumen birokrasi kalau dulu Hal Ehwal Islam, Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) dan sebagainya, sekarang dah jadi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca