PERBICARAAN berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dituduh menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin menarik apabila saksi pendakwaan memberi keterangan sejumlah AS$730 juta... Klik di sini untuk terus membaca

PERBICARAAN berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dituduh menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin menarik apabila saksi pendakwaan memberi keterangan sejumlah AS$730 juta (RM3.21 bilion) dan £9.46 juta (RM51.13 juta) dipindahkan ke dalam dua akaun peribadi milik Najib antara tahun 2011 dan 2014.

Pengurus Unit Swift Ambank, Wedani Senen memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, kesemua wang terbabit dipindahkan melalui 12 transaksi berbeza ke dalam dua akaun peribadi masing-masing berakhir dengan nombor '694' dan '880' milik Ahli Parlimen Pekan itu.

Menerusi akaun peribadi berakhir dengan nombor '694' , Najib dikatakan menerima wang daripada Putera Arab Saudi Faisal Turki Bandar Al-Saud diikuti Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corp masing-masing dengan dua kali transaksi.

Wedani turut memberi keterangan bahawa AS$620 juta telah dipindahkan semula ke akaun Tanore di Falcon Private Bank di Singapura daripada akaun '694' milik Najib pada 26 Ogos 2013.

Dalam perbicaraan 1MDB-Tanore trial, Najib didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa demi memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram jumlah yang sama. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Bagi akaun peribadi berakhir dengan nombor '880' pula, Najib dikatakan menerima wang daripada Blackrock Commodities (Global) Limited dan Vista Equity International Partners (lima transaksi).

Najib (dua dari kanan) keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa selepas hadir bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB dihadapinya. - Foto Bernama

Tanore Finance Corp dikatakan dikuasai Eric Tan Kim Loong, rakan sekutu Jho Low manakala dilaporkan sebelum ini Jabatan Kehakiman AS mengenal pasti Blackrock Commodities dan Vista Equity dikuasai oleh Jho Low menggunakan identiti Tan.

Wedani memberikan penjelasan kepada mahkamah mengenai kemasukan jumlah tersebut semasa menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan sepanjang dua minggu ini.

Untuk memudahkan pembaca Sinar Premium, kami menyediakan infografik ringkas menjelaskan rangkuman keterangan Wedani Senen.

Dalam pada itu, untuk rekod, dalam kes menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd, pada Disember 2021 Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

Rayuan akhir bagi kes SRC International akan didengar Mahkamah Persekutuan selama 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos depan.

Klik di sini untuk terus membaca