SAYA tidak menyangka akan menyaksikan sendiri di depan mata penyelewengan minyak masak peket bersubsidi pada Ahad lalu di pasar raya Giant yang terletak di ibu kota.
Kelihatan seorang lelaki membawa satu kotak minyak masak peket bersubsidi ke kaunter bayaran.
Tiba-tiba, seorang gadis yang merupakan juruwang di pasar raya tersebut memarahi lelaki berkenaan.
"Tadi awak sudah datang beli 25 peket minyak, hendak buat apa banyak-banyak? Sekarang ambil lagi 25 peket.
"Tak boleh macam ni, orang lain pun nak guna minyak juga," herdik juruwang tersebut.
Terkejut dengan teguran keras gadis berkenaan, lelaki itu bertindak meletakkan kotak yang mengandungi minyak masak peket tersebut dan berlalu pergi.
Keberanian yang ditunjukkan oleh juruwang itu yang menegur perbuatan lelaki berkenaan memang patut mendapat pujian, malah pada saya juruwang ini juga wajar diberikan penghargaan terhadap tindakannya.
Dia telah menunjukkan sikap sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan memikirkan kepentingan orang lain. Dia ibarat wira yang tidak didendang dan ada dalam kalangan rakyat.
Berbalik kepada tindakan lelaki itu pula, saya tertanya-tanya dengan perbuatannya membeli 25 peket minyak masak itu.
Jika dia berjaya membeli untuk kali kedua, ini bererti dia akan mendapat sebanyak 50 kilogram minyak masak subsidi yang berharga RM125.
Jika dia hanyalah pengguna biasa, untuk apa dia membeli begitu banyak? Adakah dia ingin gunakan untuk mandi? Atau sekadar untuk membuat stok simpanan kerana bimbang bahan tersebut dijangka habis menjelang 1 Julai nanti?
Atau mungkinkah dia seorang penjual dalam talian yang menjual minyak masak peket dengan pakej tertentu bertujuan untuk mengaut keuntungan mudah?
Mungkin juga dia seorang peniaga yang menggunakan minyak masak tersebut untuk kegunaan di kedainya?
HARGA DI THAILAND RM7.74 seliter
Apa jua persoalan, kita biarkan sahaja misteri lelaki tersebut bermain dalam minda, tetapi perbuatan memborong minyak masak bersubsidi memang tidak boleh dikompromi.
Kejadian yang berlaku di depan mata saya itu membuktikan penyelewengan minyak masak bersubsidi bukan satu hal kecil.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan bahawa subsidi minyak masak paket mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, khususnya golongan B40.
Jelasnya, minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan dan ia melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.
Ismail Sabri berkata, tiada sebab bahan itu tidak mencukupi dengan jumlah minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan mencatatkan lebihan 5,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan sebenar pengguna.
Saya amat berharap agar kerajaan dan pihak kementerian membaca pengalaman yang dilalui ini.
Jika benarlah keperluan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat terutama dalam kategori B40, bagaimana hasil tinjauan yang dilakukan akhbar ini mendapati minyak masak peket sukar diperolehi.
Nampaknya kerajaan perlu cari mekanisme yang lebih baik untuk memastikan ketirisan minyak peket bersubsidi supaya ia benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
Pada masa ini minyak tersebut bukan sahaja menjadi sasaran peniaga kerana harganya yang murah, malah, ia turut diseludup ke luar negara.
Berdasarkan laporan portal The Nation Thailand pada Mac lalu, harga bagi satu liter minyak masak di negara itu ialah RM7.74 berbanding minyak masak bersubsidi di Malaysia yang berharga RM2.50.
Ini menjadikan minyak masak negara kita yang jauh lebih rendah akan memberikan keuntungan berganda kepada penyeludup.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca