SHAH ALAM - Seorang bekas jurujual sebuah pasar raya di Kuala Lumpur pernah berhadapan dengan gangguan seksual sebanyak dua kali di tempat kerjanya.
Mangsa yang ingin dikenali sebagai Rara berkata, kedua-dua gangguan itu berlaku ketika dia bekerja separuh masa bagi menjana pendapatan untuk menampung pengajiannya di universiti.
Namun begitu, pengalaman yang dilalui itu memberi kesan trauma kepadanya sehingga dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
"Gangguan kali pertama dilakukan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di sana. Pada awalnya dia lalu di depan kedai sahaja.
"Kemudian dia masuk ke kedai minta nama saya dan nombor telefon. Selepas itu, dia berani bagi isyarat lucah pada saya di dalam kedai itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu ujarnya, gangguan seksual kali kedua pula dilakukan oleh seorang pelanggan lelaki warga asing yang masuk ke kedai untuk bertanya mengenai produk yang dijual.
”Dia masuk kedai, berpura-pura tanya pasal barang kedai kami. Kemudian semasa saya sedang mengambil barang yang dia minta, dia datang dekat dan sentuh saya, menyebabkan saya rasa takut,” ujarnya.
Mengulas mengenai tindakan yang diambil, menurut Rara, untuk kes yang pertama dia membuat laporan kepada pihak pengurusan pasar raya dan pengawal keselamatan tersebut diarahkan bertugas di tingkat lain.
"Bagi kes yang kedua, saya buat laporan kepada pihak pengurusan pasar raya juga tetapi pelanggan itu tidak dapat dikesan.
"Apa yang saya tahu, selepas gangguan kali kedua itu saya terus beritahu kepada keluarga dan rakan sekerja untuk berhenti,” menurutnya.
Sementara itu dalam kes lain, seorang pengguna pengangkutan awam, Transit Aliran Ringan (LRT) mengakui trauma apabila berdepan gangguan seksual daripada seorang lelaki di kawasan LRT Ampang Jaya baru-baru ini.
Pengguna yang ingin dikenali sebagai Hamisah itu berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4 petang, ketika dia baru sahaja turun daripada stesen LRT untuk pulang ke rumah menggunakan khidmat e-hailing.
"Ketika menunggu di tempat teksi, saya nampak seorang lelaki dan rasa macam ada yang tak kena. Pada masa yang sama juga, saya sedang menelefon rakan saya.
"Kemudian apabila saya toleh ke belakang, saya nampak lelaki itu berdiri terlalu rapat di belakang saya sedangkan banyak lagi ruang kosong,” ceritanya.
Ujarnya lagi, tindakan lelaki tersebut membuatkan dia berasa tidak selesa dan takut berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Saya memang rasa tidak sedap hati, jadi saya buat keputusan untuk bangun dari tempat saya dan terus beredar dari situ.
"Ketika saya lari, lelaki itu menengking dari jauh seolah-olah marah saya lari daripada dia.
"Masa itu saya memang sangat takut sebab dia memang berdiri amat dekat dengan saya. Dalam saya berlari itu pun, saya menangis dan trauma dengan kejadian tersebut,” kenang Hamisah.
Guru lelaki direman cabul murid
Dalam laporan media pada 21 Julai lalu, seorang guru lelaki direman selama seminggu mulai Khamis lalu untuk membantu siasatan kes mencabul seorang murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah kebangsaan di Langkawi.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, tangkapan dibuat ke atas suspek berusia 48 tahun itu susulan laporan oleh ibu mangsa pada Rabu.
Kata Shariman, berikutan laporan itu, guru lelaki dari sekolah yang sama telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14/a Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurutnya, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis Langkawi kini sedang mengesan seorang lelaki yang mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam di pulau berkenaan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki itu dan rakan-rakannya adalah pelancong tempatan dan telah keluar dari Pulau Langkawi.
Katanya, tindakan sedang diambil untuk mengesan suspek dan saksi-saksi bagi membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelaku syok sendiri ganggu mangsa
Klik di sini untuk terus membaca