SHAH ALAM - Kenaikan harga makanan pada masa kini menyebabkan rakyat Malaysia semakin sukar untuk mendapatkan pemakanan sihat dan seimbang. Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Jarud Romadan Khalidi berkata, harga makanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenaikan harga makanan pada masa kini menyebabkan rakyat Malaysia semakin sukar untuk mendapatkan pemakanan sihat dan seimbang.

Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Jarud Romadan Khalidi berkata, harga makanan yang meningkat memburukkan lagi tahap keupayaan masyarakat dari segi pendapatan untuk memperoleh nutrien makanan diperlukan.

Beliau berkata, inflasi makanan pada Mei 2022 yang berada pada kadar 5.3 peratus merupakan peningkatan tertinggi di dalam negara sejak November 2011.

Menurutnya, peningkatan itu disumbangkan oleh makanan penting seperti daging yang merekodkan inflasi sebanyak 9.5 peratus, manakala sayur-sayuran sebanyak 8.1 peratus.

"Perubahan diet seperti ini membimbangkan kerana ia berpotensi memburukkan gaya pemakanan lalu memberi kesan buruk kepada kesihatan rakyat,” katanya kepada Sinar Ahad.

Antara kesan kesihatan pemakanan bernutrisi tidak seimbang ialah masalah bantut, berat badan berlebihan bagi kanak-kanak, manakala orang dewasa pula terdedah kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, hipertensi, diabetes dan kardiovaskular.

Jarud berkata, melihat kepada beberapa faktor selain pendapatan seperti bekalan dan kecukupan masa bagi penyediaan makanan sihat itu, situasi hampir sama turut dialami kumpulan berpendapatan menengah (M40).

Bagi menangani isu tersebut, beliau berkata, langkah menambahkan pendapatan isi rumah melalui bantuan tunai langsung daripada kerajaan antara inisiatif sesuai dilaksanakan untuk membantu rakyat menyediakan makanan bernutrisi kepada keluarga masing-masing.

Ini kerana, katanya, penyelesaian menerusi cara meningkatkan agihan perbelanjaan daripada pendapatan keseluruhan isi rumah agak sukar dilakukan dengan mengambil kira komitmen utama lain perlu dipenuhi.

"Untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek, intervensi kerajaan menerusi bantuan tunai boleh meringankan beban isi rumah terhadap peningkatan kos sara hidup, lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca