SHAH ALAM - Negara bakal berhadapan beban berganda akibat masalah bantut serta berat badan berlebihan dalam kalangan masyarakat akibat amalan pemakanan tidak berkhasiat atau tidak mencukupi.
Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norhasmah Sulaiman berkata, isu tersebut perlu diselesaikan secara bersama oleh semua pihak kerana ia memberikan implikasi jangka panjang terhadap negara.
"Ini kerana anak-anak yang bantut ini sebenarnya kalau kita biarkan, ia akan membentuk satu kitaran tidak sihat. Mereka yang bantut ketika proses pembesarannya, mereka mempunyai masalah untuk menumpukan perhatian terhadap pembelajaran.
"Bila jadi seperti itu, dia juga tidak dapat menyediakan makanan berkhasiat untuk anaknya sebab tak mampu membeli, dan akhirnya kitaran itu berulang semula,” katanya kepada Sinar Ahad.
Bagi isu berat badan berlebihan atau obesiti pula, Norhasmah berkata, ia bakal menjejaskan potensi boleh disumbangkan oleh seseorang individu semasa usia kemuncak kerjayanya.
"Katakan umur 40 tahun mereka sepatutnya menyumbang kepada negara. Ketika itu sepatutnya kerjaya mereka berada di tahap kemuncak tapi kerana ada penyakit dan masalah kesihatan, mereka tidak boleh memberi sumbangan sepenuhnya kapasiti dimiliki. Rugilah negara kita,” jelas beliau.
Bagi menangani isu tersebut, Norhasmah berkata, ia memerlukan pendekatan holistik termasuk dari aspek kewangan untuk mendapatkan makanan sihat.
"Bagi kes bantut contohnya, banyak kajian dilakukan mendapati kemiskinan sememangnya merupakan antara punca utama menyumbang kepada situasi tersebut selain pengetahuan rendah ibu bapa terhadap penyediaan makanan sihat,” ujarnya.
Disebabkan itu, beliau berkata, usaha meningkatkan amalan pemakanan sihat perlu dilakukan dengan cara melakukan pemberian subsidi atau pengawalan harga terhadap bahan makanan berkhasiat.
Tambah beliau, memandangkan ramai kini mengamalkan pengambilan makanan di luar rumah, usaha menggalakkan penyediaan makanan sihat oleh peniaga juga perlu dilaksanakan, di samping menjalankan inisiatif mendidik pengguna.
"Sebagai contoh di Singapura, cara mereka mendidik rakyat yang membeli makanan di luar, kerajaan negara itu menyediakan satu logo untuk ditampalkan di gerai sekiranya peniaga itu menyediakan makanan sihat dan seimbang. Ini sangat membantu pengguna,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca