KIRA-KIRA 20 tahun yang lalu, saya menyertai satu program keluarga angkat di sebuah kampung di utara tanah air. Kampung tersebut cukup indah, namun ia dalam situasi tidak aman dan damai kerana dibelenggu masalah politik.Perbezaan amat... Klik di sini untuk terus membaca

KIRA-KIRA 20 tahun yang lalu, saya menyertai satu program keluarga angkat di sebuah kampung di utara tanah air.

Kampung tersebut cukup indah, namun ia dalam situasi tidak aman dan damai kerana dibelenggu masalah politik.Perbezaan amat ketara dengan sebuah parti yang berteraskan agama dan satu lagi berpegang teguh kepada kaum.

Saya diberitahu banyak projek pertanian yang masuk ke kampung tersebut. Daripada projek tanam cili, sayur-sayuran, buah-buahan hinggalah kepada penternakan kambing dan lembu.

Bagaimanapun, semua projek itu mesti melalui ketua kampung dan hanya diagihkan kepada mereka yang mempunyai satu pegangan politik yang sama dengan ketua kampung.

Ia menyebabkan kumpulan satu lagi hanya mampu tengok sahaja dan berdoa agar mereka diberikan keadilan suatu hari nanti.

Mungkin doa kumpulan tersebut diberkati kerana semua projek yang masuk ke kampung itu tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan.

Tidak tahu di mana salah dan silapnya. Mungkin tiada pemantauan daripada agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan atau sudah menjadi lumrah peserta projek yang hanya mahu mendapatkan wang mudah.

Pada ketika itu, saya amat berharap agar berlaku perubahan di kampung tersebut dan berdoa agar kehidupan mereka kembali aman damai. Bagi saya, ia adalah satu daripada kisah kegagalan untuk menjamin keselamatan atau sekuriti makanan.

Tidak pernah terjangkau di fikiran kita menghadapi masalah keselamatan makanan sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang amat subur dan sesuai untuk pertanian.

Berdasarkan kisah yang saya ceritakan, amat menyedihkan apabila projek-projek serampang tiga mata yang bertujuan membasmi kemiskinan, meningkatkan ekonomi setempat dan memastikan keselamatan makanan terjamin itu mengalami kegagalan.

Ini juga sebenarnya adalah satu bentuk ketirisan dan penyelewengan di peringkat bawahan yang tidak sepatutnya berlaku. Lihatlah apa yang terjadi dengan projek National Feedlot Corporation (NFC) yang tidak dapat dilaksanakan.

DAGING MAKIN MAHAL

Projek itu bertujuan untuk membangun dan meningkatkan pengeluaran daging lembu serta produk daging lembu.

Hari ini daging lembu dijual pada harga RM45 sekilogram dan merupakan bahan makanan yang mahal untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

Jika NFC menjadi sebuah projek yang berjaya, tidak mustahil rakyat boleh menikmati daging pada harga lebih rendah. Namun nasi sudah menjadi bubur, NFC kini tinggal sejarah yang perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

Dengan peningkatan harga barang makanan hari ini, kerajaan telah berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan masalah keselamatan makanan dapat diatasi.

Namun, mentaliti 20 tahun lalu perlu diatasi dan diperbaiki dengan pemantauan rapi daripada kerajaan atau kita akan menyaksikan program-program yang dirancang terkubur begitu sahaja.

Kita tidak boleh lagi benarkan wang yang diperuntukkan tidak digunakan dengan baik, sebaliknya setiap projek mesti memberikan impak yang kita mahukan.

Cabaran semakin besar pada masa-masa akan datang. Jadi, diharap semua pihak memainkan peranan penting bagi memastikan masalah keselamatan makanan menjadi agenda penting negara.

Kita semua kena ingat betapa seriusnya kesan kepada rakyat jika masalah ini tidak diselesaikan dengan sehabis baik.

Walaupun Malaysia tidak akan menjadi seperti Sri Lanka tetapi iktibar daripada apa yang berlaku kepada negara berkenaan perlu diteladani.

Rakyat yang perutnya kosong dan lapar akan mengakibatkan kesan amat dahsyat. Sri Lanka telah menjadi bukti yang nyata kepada kita semua.

Kerajaan hari ini buatlah keputusan dan tindakan yang betul untuk masa depan negara.

Jika hendak berikan program atau projek kepada satu-satu kumpulan yang mempunyai aliran politik tertentu pun, sekurang-kurangnya pastikan ia mencapai kejayaan dan tidak sekadar wang mudah bagi mendapat sokongan semata-mata.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca