MELAKA - Monorel Melaka yang merupakan antara ikon pelancongan dan lokasi menarik di negeri ini sudah tidak beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
Perkhidmatan yang dibangunkan dengan kos RM16.5 juta itu ibarat gajah putih malah deretan kios makanan di bawah bangunan monorel yang pernah meriah suatu ketika dahulu kini turut terbiar.
Warga emas, Nekmat Hassan, 70, yang menetap di Pengkalan Rama berkata, adalah sesuatu yang merugikan jika produk pelancongan itu tidak beroperasi semula.
Menurutnya, Monorel Melaka pernah menjadi kebanggaan rakyat negeri ini kerana berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki perkhidmatan rel tersebut.
Katanya, jika kemudahan itu berfungsi ia secara tidak langsung dapat menambah rezeki terutama kepada peniaga makanan.
"Saya sendiri berniaga nasi lemak di situ. Kalaulah Monorel Melaka dibuka semula pasti lebih ramai pelancong datang ke negeri ini,” ujarnya.
Bagi Hafiz Shukri, 21, monorel terbengkalai itu sekali gus mencacatkan pemandangan dan berharap dapat dimanfaatkan semula.
"Sekurang-kurangnya kalau ada, hasil pendapatan negeri akan bertambah. Namun perlu pastikan aspek keselamatan dipertingkat agar insiden terperangkap dalam monorel tidak berulang,” katanya.
Melaka Monorel mula dibina pada Mei 2008 dan dirasmikan pada 20 Oktober 2010 oleh Ketua Menteri ketika itu, Tun Mohd Ali Rustam.
Laluan sepanjang 1.6 kilometer bermula dari Jalan Tun Ali menghidangkan pengunjung dengan panorama menarik Sungai Melaka.
Klik di sini untuk terus membaca