SHAH ALAM - Pengamal undang-undang dan penganalisis politik bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil pendirian berkecuali dalam kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengamal undang-undang dan penganalisis politik bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil pendirian berkecuali dalam kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tindakan Ismail Sabri itu menunjukkan kerajaan menghormati kedaulatan undang-undang dan konsep pengasingan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman seperti diperuntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, perbuatan Ismail Sabri tidak masuk campur dalam perbicaraan kes Najib dan Zahid Hamidi atau kes mahkamah lain adalah langkah terbaik dan memenuhi aspirasi rakyat yang mahu melihat sistem kehakiman dan perundangan negara berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Haniff Khatri berkata, tindakan itu perlu kerana sistem kehakiman, perundangan dan parlimen di negara ini mestilah bebas daripada kawalan dan campur tangan kerajaan sama ada secara baik atau jahat.

"Tindakan Ismail Sabri enggan campur tangan dalam kes Najib mahu pun Zahid Hamidi atau kes lain adalah tepat dari segi perlembagaan bukan politik. Sama ada tindakan Ismail Sabri itu dianggap satu pengkhianatan terhadap Najib dan Zahid Hamidi itu adalah masalah politik," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Ahad.

MOHAMED HANIFF

Terdahulu, Najib dalam satu hantaran di Facebooknya melahirkan rasa terkilan dan kesal kerana bantuan ikhlas diberikan olehnya kepada individu dan pemimpin politik tertentu dibalas dengan pengkhianatan

REFORMASI PENTADBIRAN, PARLIMEN

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, keengganan Ismail Sabri campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan pemimpin UMNO menunjukkan kerajaan ditadbir Ahli Parlimen Bera itu serius dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan Parlimen.

Mazlan berkata, tindakan itu juga bukan sahaja menunjukkan Ismail Sabri menunaikan janji untuk melakukan reformasi pentadbiran kerajaan selari dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini, malah meningkat keyakinan rakyat terhadapnya.

DR MAZLAN

"Saya melihat keengganan Perdana Menteri enggan campur tangan dalam kes Najib dan Zahid adalah kerana beliau berpegang teguh dan percaya dengan prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman yang dilaksanakan di Malaysia sekarang.

"Jadi tidak timbul sama sekali soal Ismail Sabri mengkhianati Najib atau pemimpin UMNO lain. Isu dihadapi Najib sekarang adalah kerana kesalahan peribadi dilakukannya sendiri serta tiada kaitan langsung dengan Ismail Sabri.

"Sebagai Naib Presiden UMNO dan Perdana Menteri sekarang Ismail Sabri perlu menjunjung tinggi prinsip integriti kerana Ahli Parlimen Bera itu bukan hanya menjaga partinya sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca