SHAH ALAM - Mangsa yang terlibat dengan kehilangan wang dari akaun bank masing-masing perlu segera membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diambil tindakan. Peguam, M Hafiz Zainul Abidin berkata, sekiranya pihak BNM gagal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mangsa yang terlibat dengan kehilangan wang dari akaun bank masing-masing perlu segera membuat aduan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk diambil tindakan.

Peguam, M Hafiz Zainul Abidin berkata, sekiranya pihak BNM gagal melaksanakan penyelesaian, mangsa berhak mengambil tindakan guaman.

"Secara umumnya bank komersial ini dilindungi oleh BNM. Jadi sudah tentu pelanggan perlu membuat aduan di BNM.

"Mereka mempunyai pendakwa dan pegawai undang-undang untuk meneliti kes yang berlaku sama ada terdapat kesilapan atau kecuaian dari pihak bank terbabit ataupun tidak.

"Namun, sekiranya BNM tidak mengambil langkah penyelesaian, maka mangsa boleh mengambil tindakan guaman,” katanya.

M Hafiz berkata, siasatan terhadap aduan kehilangan wang tersebut kebiasaannya akan mengambil masa selama 14 hari.

Bagaimanapun katanya, jika terdapat kesilapan dan kecuaian daripada pelanggan selepas siasatan, maka pihak bank tidak dapat mengembalikan semula wang yang telah hilang tersebut.

CIMB saran pelanggan berwaspada, elak kongsi butiran

Sementara itu, CIMB menyarankan setiap pelanggan supaya sentiasa berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam melindungi diri daripada jenayah siber.

Maklum CIMB, pelanggan diingatkan supaya tidak berkongsi butiran seperti kata laluan guna sekali (OTP), nombor kad, ID Pengguna, PIN, kod pengesahan transaksi (TAC), kata laluan dengan sesiapa sahaja.

"Selain memasukkan butiran berkenaan pada mana-mana laman web selain daripada CIMB Clicks serta aplikasi perbankan mudah alih CIMB.

"Sentiasa semak semula alamat atau URL laman web secara teliti sebelum anda klik pautan berkenaan atau masukkan butiran anda,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook pada Sabtu.

Bank tersebut turut meminta agar semua pelanggan menghubungi pusat panggilan mereka dengan segera di 03-6204 7788 sekiranya terdapat transaksi atau aktiviti yang mencurigakan.

"Selain rujuk laman cimb.com.my/sec untuk info lanjut,” maklum bank itu.

Klik di sini untuk terus membaca