SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, menjadi tanda aras bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku rasuah dan salah guna kuasa sekalipun ia melibatkan bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, menjadi tanda aras bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang perilaku rasuah dan salah guna kuasa sekalipun ia melibatkan bekas kepimpinan tertinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, hukuman yang diputuskan itu bersifat adil tanpa menghiraukan siapa si pelakunya.

Katanya, kebebasan institusi kehakiman meningkatkan kepercayaan awam bahawa badan tersebut menjadi harapan dan benteng terakhir rakyat dalam mencapai sebarang bentuk keadilan.

"Ia turut menjadi indikasi bahawa setiap pihak harus berperanan mewujudkan keseimbangan kuasa dalam melahirkan sebuah transformasi sebuah negara yang mencerminkan governan dan integriti yang tinggi,” katanya kepada Rasuah Busters pada Rabu.

Dalam pada itu, tegasnya perubahan di negara ini memerlukan tindakan domestik rakyat Malaysia secara kolektif dan mampan bagi menentang segala kemungkaran termasuk dalam isu salah laku dan rasuah.

"Wujud kepentingan agar kerajaan, masyarakat sivil dan pemegang taruh untuk terus bekerjasama dengan gabungan suara media yang berani ke hadapan untuk mengatakan hak dalam skop perundangan dibenarkan. Hanya dengan kebersamaan ini, ketelusan dalam tadbir urus dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Nurhayati berkata, rasuah jelas menunjukkan kesan negatif terhadap fungsi dan mengancam demokrasi serta menjejaskan kredibiliti negara di samping merosakkan kepercayaan rakyat.

"Untuk itu pembanterasan rasuah seharusnya seiring dengan pembinaan sistem nilai seperti yang digerakkan oleh #RasuahBusters agar setiap institusi dibina kukuh bermula daripada kuasa rakyat, asas kedaulatan undang-undang dan sistem kepercayaan setiap warganegaranya. Pendekatan holistik dan berterusan amat perlu agar kemenangan rakyat ini bukan bersifat sementara.

"Sekalipun kita terpaksa berdepan cabaran kerana perlu bermula dari bawah, tetapi demi maruah dan keberkatan hidup berpaksikan teras rukun kepercayaan kepada Tuhan, terbukti bahawa ketegasan badan kehakiman mempertahankan kebebasannya dan suara rakyat yang bangkit menentang kezaliman rasuah menatijahkan keadilan Malaysia di bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Tegasnya, keputusan ini menjadi semangat agar rakyat tidak berputus asa memastikan rantaian rasuah ini boleh diputuskan.

"Apabila keadilan itu menjadi teguh tiada sesiapa pun akan terzalimi oleh kerana nama, kedudukan atau pun kuasa politik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca